KAREN Lyne Dick. FOTO AFP
KAREN Lyne Dick. FOTO AFP


Phnom Penh: Pemain ping pong negara, Karen Lyne Dick meletakkan sasaran untuk mara ke pentas final beregu wanita di Sukan Sea Kemboja 2023 selepas gandingannya bersama Choong Javen terlepas tiket ke separuh akhir beregu campuran.

Karen dan rakan gandingan, Choong Javen memperoleh bye di pusingan pertama tetapi ditewaskan pasangan dari Vietnam, Anh Hoang Dinh-Mai Ngoc Tran 2-3 (13-11, 9-11, 11-8, 7-11, 12-10) di suku akhir yang berlangsung Dewan Ping Pong Stadium Nasional Morodok Techo.

Atlet dari Sarawak itu menunjukkan kebangkitan dalam acara beregu wanita bersama Tee Ai Xin dengan menewaskan gandingan tuan rumah, Khiev Chendaroth-Yin Chanrotana 3-0 (11-2, 11-3, 11-4) untuk membuat perhitungan seterusnya dengan wakil Singapura, Lin Qian Ser-Rui Xuan Goi di suku akhir.

"Pada dua mata terakhir, kami tidak cukup baik, kami tahu bagaimana lawan akan bertindak balas tetapi kami hilang fokus... strategi kami baik dan tepat," katanya.

"Kami hanya tidak mampu mengawal servis lawan, kami bukan takut untuk bermain rali dengan mereka, kami hanya tidak boleh menampan servis mereka dan kami agak gementar pada satu ketika. Sasaran kami adalah mara ke final, jadi kami agak kecewa."

"Acara terakhir saya adalah beregu wanita dan berdasarkan undian, ia tidak terlalu sukar. Kami meletakkan sasaran paling tidak mara ke separuh akhir terlebih dulu sekiranya mahu ke final."

Dalam pada itu, satu lagi beregu Malaysia, Alice Chang Li Sian-Im Li Ying menewaskan wakil Filipina, Pescadero Dael-Angelou Joyce 3-1 (11-8, 11-7, 7-11, 11-7) dan dijadual bertemu gandingan Vietnam, Tran Mai Ngoc-Nguyen Thi Nga di pusingan lapan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 9:45 PM