ATLET Malaysia bergambar bersama selepas memenangi pingat perak berpasukan lelaki dan gangsa berpasukan wanita. FOTO Mohamad Shahril Badril Saali
ATLET Malaysia bergambar bersama selepas memenangi pingat perak berpasukan lelaki dan gangsa berpasukan wanita. FOTO Mohamad Shahril Badril Saali


Phnom Penh: Skuad karate negara menamatkan cabaran di temasya Sukan Sea dengan kejayaan manis apabila berjaya membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan empat gangsa.

Biarpun terlepas satu pingat emas dari genggaman, ia tidak mematahkan semangat pasukan karate negara yang dijangka bertambah mantap apabila beraksi di Sukan Asia di Hangzhou, China pada September ini.

Perkara itu diakui jurulatih karate negara, Tamer Abdelraouf Mourssy yang berkata prestasi atlet negara di saingan dwitahunan itu melebihi daripada jangkaannya.

Katanya, momentum positif itu akan terus dikekalkan hingga ke Sukan Asia, dengan beberapa kelemahan akan diperbaiki segera dalam misi memburu pingat emas pertama selepas sembilan tahun di temasya terbesar benua Asia itu.

"Ada tanda-tanda positif di Sukan Sea ini dan kita akan berusaha menyediakan atlet ke tahap lebih tinggi lagi sebelum ke Sukan Asia. Saya baru dua bulan di sini, saya rasa gembira dengan kemajuan atlet tetapi untuk berjaya anda perlukan lebih daripada atlet dan jurulatih yang bagus...kita perlu mendedahkan atlet kepada persaingan di peringkat lebih tinggi.

"Kami memerlukan lebih ramai atlet wanita dalam pasukan, kami akan mencari lebih banyak bakat untuk ditambah kepada pasukan. Malaysia mempunyai bakat dan saya yakin dapat meningkatkannya," katanya yang berasal dari Mesir.

Di Hangzhou nanti, sebanyak 14 acara dipertandingkan di Sukan Asia itu dari 23 September hingga 8 Oktober.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas di Sukan Asia ialah di Incheon, Korea Selatan pada 2014 lalu menerusi Lim Chee Wei yang mengungguli acara Kata individu lelaki, dan Syakilla Jefry Krisnan memenangi acara Kumite bawah 61 kilogram (kg) wanita.

Pada Sukan Asia di Indonesia 2018 lalu, S Prem Kumar sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara lelaki bawah 60kg.

Jelas Prem, dia akan tampil lebih bersedia dan mahu menebus kedukaan 2018 lalu itu di Hangzhou nanti.

"Saya terlalu fokus hanya untuk menang, saya tidak mengawal perasaan itu dan kerana saya, pasukan itu kalah... saya rasa kecewa dan pasukan itu tewas kerana saya.

"Saya akan terus berlatih secara intensif selepas ini kerana Sukan Asia adalah tumpuan saya seterusnya. Saya harap saya boleh melakukan lebih baik daripada apa yang saya berjaya dalam penampilan sulung saya di Sukan Asia lalu," kata Prem.

Di Kemboja ini, atlet negara iaitu C Shahmalarani menyumbang pingat emas pertama (wanita bawah 50kg) untuk kontinjen Malaysia, diikuti Prem (lelaki bawah 55kg), H Sureeya Sankar (lelaki bawah 60kg) dan R Sharmendran (lelaki bawah 75kg).

Pingat perak pula datang daripada acara berpasukan lelaki, manakala pingat gangsa dihadiahkan oleh Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (lelaki bawah 84kg), P Madhuri (wanita bawah 55kg), Siti Nur Azwani Nor Azli (wanita bawah 61kg) dan berpasukan wanita Kumite negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 9:38 PM