PANDELELA (kiri) akan ke Kejohanan Dunia terlebih dahulu dan ia dikira sebagai pertandingan pemanas badan sebelum Komanwel bermula. FOTO Bernama
PANDELELA (kiri) akan ke Kejohanan Dunia terlebih dahulu dan ia dikira sebagai pertandingan pemanas badan sebelum Komanwel bermula. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penerjun negara Datuk Pandelela Rinong berharap akan dapat terus mempamerkan terjunan konsisten seterusnya menyumbangkan emas pada temasya Komanwel yang akan berlangsung di Birmingham Julai ini.

Tidak kira sama ada dalam acara individu iaitu 10 meter (m) platform atau seirama bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri, Pandelela mengharapkan sekurang-kurang satu pingat emas berada dalam genggamannya.

Itu juga standard penilaian prestasi kerja (KPI) yang diletakkan kepadanya yang akan menyertai Kejohanan Dunia dari 17 Jun hingga 3 Julai ini di Budapest, Hungary sebelum temasya Komanwel berlangsung.

"Saya harap saya boleh dapatkan emas di Komanwel kerana itulah KPI dalam kontrak saya.

"Tapi sebelum Komanwel, saya akan ke Kejohanan Dunia terlebih dahulu dan ia dikira sebagai pertandingan pemanas badan sebelum Komanwel bermula," katanya yang pernah perak di Kejohanan Terjun Piala Dunia di Gwangju Korea Selatan dua tahun lalu dalam acara 10m platform seirama bersama Datuk Leong Mun Yee.

Ditanya apakah sasarannya penerjun berpengalaman negara itu, Pandelela berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya perlu mengambil langkah berhati-hati agar tidak berlaku sebarang kecederaan atau masalah yang boleh menghalang persiapannya Komanwel.

Mengulas mengenai keserasiannya bersama Dhabitah, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio dalam acara 10m seirama itu berkata, ketika ini sudah tidak timbul sebarang masalah membabitkan keserasian dan dia semakin selesa bergandingan bersama selepas berjaya menyumbangkan emas dalam acara 10m seirama di temasya Sukan Sea Hanoi yang lalu.

"Keserasian saya dan Bitah sekarang ini okey cuma apa yang kami perlu perbaiki adalah teknik individu masing-masing," katanya.

Pandelela masih lagi menjadi taruhan utama negara untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10m seirama ketika Komanwel Gold Coast selepas menewaskan pasangan Kanada, Meaghan Benfeito-Caeli McKay.

Namun kehadiran Dhabitah dalam acara itu tidak perlu dipertikaikan kerana penerjun negara itu juga turut pernah menghadiahkan gangsa dalam acara yang sama juga di Gold Coast bersama Mun Yee.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 5:54 PM