ANDRE mahu mempertahankan pingat emas acara lompat kijang di Sukan Sea Kemboja, tahun depan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ANDRE mahu mempertahankan pingat emas acara lompat kijang di Sukan Sea Kemboja, tahun depan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Selepas berjaya menebus kekecewaan dalam acara lompat jauh apabila meraih emas lompat kijang semalam, atlet olahraga negara, Andre Anura Anuar mula memasang impian untuk mempertahankan pingat itu di Sukan Sea Kemboja, tahun depan.

Atlet kelahiran Sabah itu mengakui bermula dari sekarang, dia harus bekerja keras agar emas itu tidak terlepas ke tangan atlet dari negara lain.

"Saya akan bekerja lebih keras dengan harapan dapat mengatasi rekod Hakimi (Muhammad Hakimi Ismail) nanti," katanya selepas tamat aksi di Stadium Nasional My Dinh, semalam.

Andre berjaya melengkapkan sasaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan menghadiahkan emas kelima olahraga dan berazam mahu memecahkan rekod Hakimi, 16.77 meter (m) yang dicatatkan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

"Ini emas pertama saya di Sukan Sea dan pastinya ia adalah pencapaian terbaik dalam karier saya. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana berjaya mengatasi kekecewaan selepas gagal meraih pingat dalam acara lompat jauh.

"Saya tahu acara lompat kijang sangat teknikal dan selepas kalah dalam lompat jauh, saya tahu kelebihan dalam acara lompat kijang dan mampu meraih emas buat Malaysia.

"Kemenangan ini dapat mempertahankan pingat emas diraih atlet senior saya iaitu Hakimi," katanya.

Andre melakukan catatan 16.51m, sekali gus mengatasi catatan terbaik peribadi 16.09m dilakukan di Terbuka Malaysia, Mac lalu dan berjaya mengekalkan penguasaan Hakimi sejak 2015 di Singapura.

Lompatan itu mengagalkan hasrat atlet dari Filipina, Mark Harry Diones Aloto dan atlet tuan rumah, Tran Van Dien selepas masing-masing sekadar meraih perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 6:55 PM