AKSI Rachel hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
AKSI Rachel hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Atlet gimnastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen boleh tersenyum lebar dalam penampilan kedua Sukan Sea di Vietnam selepas meraih pingat emas dalam acara palang tidak sejajar, hari ini.

Rachel yang meraih gangsa di Filipina 2019 menukar kilauan kepada emas sekali gus mempertahankan gelaran dimenangi Farah Ann Abdul Hadi tiga tahun lalu di temasya dwi tahunan berkenaan.

Beraksi di Pusat Gimnasium Quan Ngua, gimnas berusia 23 tahun itu memperagakan aksi cukup sempurna untuk mengutip 13.00 mata meninggalkan pencabar terdekatnya dari Vietnam, Pham Nhu Phuong 12.467 manakala gangsa menjadi milik Singapura, Nadine Nathan Joy (12.433).

"Tentunya sangat gembira kerana dapat membuktikan saya mampu meraih emas. Segala perngorbanan dalam latihan dan segala-galanya berbaloi.

"Saya menghadiahkan emas ini kepada Malaysia dan semua yang memberikan sokongan kepada saya sehingga ke tahap ini," kata Rachel.

Pada edisi 2019, Rachel meraih gangsa dalam acara palang tidak sejajar manakala perak dimenangi atlet Vietnam, Do Thi Ngoc Huong dan emas diraih Farah Ann.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 6:48 PM