M BALAMURUGAN. FOTO Arkib NSTP
M BALAMURUGAN. FOTO Arkib NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Ketidakadilan dalam sukan boleh menghancurkan masa depan sukan negara. Menjadi tugas dan tanggungjawab KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) memastikan tiada atlet kayangan dalam sukan olahraga di Malaysia," kata jurulatih pecut negara, M Balamurugan.

Balamurugan yang melahirkan beberapa atlet wanita berbakat seperti Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias nyata kecewa apabila pandangannya langsung tidak didengari KOM, malah beliau dipanggil pengurusan KOM dan diberi nasihat tidak mengeluarkan kenyataan dalam media sosial.

Semalam, KOM tampil 'menegakkan benang yang basah' apabila mempertahankan pemilihan dalam senarai nama 4x100m wanita dan memberi alasan mengapa tidak menyenaraikan Fatin Ilyana Mat Nayan dalam kuartet itu ke temasya Sukan Sea Hanoi.

Dalam postnya di Instagram, Balamurugan menyatakan kebimbangannya apabila kemelut yang berlaku pada masa ini boleh memberi impak negatif mendalam dan mengganggu bukan saja emosi serta mental Fatin, tapi menjejaskan atlet lain.

Katanya, orang ramai boleh menilai sekiranya ada atlet junior (Fatin) yang sudah dua kali menewaskan pelari senior, namun akhirnya pelari senior (S Komalam Shally) yang mendapat tempat.

"Adakah tindakan yang adil?. Ketua Jurulatih pecut Dwayne Miller menggunakan alasan mahu menggunakan khidmat pelari senior, tapi macam mana pula dalam konteks Lee Hup Wei (lompat tinggi) yang digugurkan bagi memberi peluang kepada atlet muda, Eizlan Dahalan bagi mendapat pendedahan.

"Mengapa peraturan itu tidak diguna pakai dalam acara 4x100m," katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh melihat dan apa yang ditegaskan sebelum ini membabitkan pemilihan kuartet wanita ke temasya Sukan Sea Hanoi adalah berdasarkan fakta.

Pada masa ini, KOM menyenaraikan Zaidatul Husniah, Nor Sarah, Azreen Nabila dan dua atlet veteran iaitu S Komalam yang berusia 35 tahun (12.012s) dan Siti Fatimah Mohamad (12.019s) yang berusia 36 tahun.

Namun berdasarkan catatan terbaik musim ini, Zaidatul, 29, mempunyai pencapaian terbaik dengan catatan 11.62s, diikuti dua atlet berusia 22 tahun - Nor Sarah Adi (11.89s) dan Azreen Nabila Alias (11.90s) - serta Fatin Ilyana (11.97s).

Terdahulu Presiden KOM, Datuk SM Muthu menegaskan isu Fatin yang tidak terpilih ke temasya itu tidak harus timbul kerana pihaknya memilih mengikut peraturan ditetapkan serta disyaratkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)

Katanya, KOM pada awalnya sudah menyerahkan enam nama bagi senarai kuartet 4x100m wanita selepas pemilihan diputuskan menerusi Kejohanan Olahraga Malaysia.

Balamurugan dalam postnya memberitahu, pada 9 Mac 2022 beliau sudah merayu dan memaklumkan cara untuk mendaftarkan tujuh atlet dalam acara 100m dan 4x100m dan pengguguran atlit dibuat selepas FT All Comers.

Perkara itu dipersetujui ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil tapi rayuannya tidak diendahkan KOM dan Miller.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Muthu kerana tahu orang ramai pasti boleh menilai sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 3:26 PM