SPIETH berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu pada hari kedua di Cabaran Charles Schwab. FOTO AFP
SPIETH berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu pada hari kedua di Cabaran Charles Schwab. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Jordan Spieth membenam empat birdie untuk mencatatkan empat di bawah par 66 bagi membolehkan dia memiliki kelebihan satu pukulan mendahului saingan Cabaran Charles Schwab.

Bagaimanapun, Phil Mickelson gagal melepasi cut buat pertama kali sejak memenangi PGA Championship.

Spieth, yang memulakan hari kedua dengan berkongsi kedudukan pendahulu bersama Sergio Garcia, berjaya melakukan birdie di lubang ketiga hasil putt sejauh tujuh meter, sebelum ribut petir menyebabkan perlawanan ditangguhkan selama dua jam.

Pemain Amerika Syarikat itu terus cemerlang dalam melakukan putt apabila saingan bersambung dengan mencatat birdie di lubang keenam hasil putt sejauh tiga meter dan enam meter di lubang ke-14 bagi mencatat keseluruhan 11 di bawah par 129 di Colonial Country Club.

"Saya masih lagi mampu melakukan putt dengan baik. Saya kembali beraksi selepas perlawanan tertangguh akibat hujan dan melakukan tiga putt dengan sempurna.

"Saya sentiasa merasakan mempunyai peluang untuk membenam birdie di setiap sembilan lubang pertama dan begitu juga di sembilan lubang terakhir.

"Bagaimanapun, saya tidak menghayunkan dengan baik. Saya tahu perlu menyesuaikan diri dengan baik di lapangan dan selepas itu baru mendapat keputusan cemerlang.

"Memang berasa lega tidak melakukan sebarang bogey," kata Spieth.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 2:11 PM