Aksi pemain tenis nombor tiga dunia dari Romania, Simona Halep di Terbuka Madrid. FOTO Agensi
Aksi pemain tenis nombor tiga dunia dari Romania, Simona Halep di Terbuka Madrid. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Pemain nombor tiga dunia, Simona Halep tersingkir di Terbuka Madrid pagi ini selepas tewas 4-6, 7-5, 7-5 dalam kelompok 16 terakhir kepada pemain Belgium, Elise Mertens manakala Dominic Thiem meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan pertamanya sejak Mac lalu.

Sensasi Romania, Simona yang menang gelaran di Madrid pada 2016 dan 2017, masih belum lagi mara ke final Jelajah WTA musim ini dan ia adalah penyingkiran terbarunya di ibu kota Sepanyol sejak tewas di pusingan pertama pada 2015.

Simona mempamerkan rentak cemerlang pada dua pusingan awal di gelanggang tanah liat dekat Madrid.

Juara dua kali Grand Slam dan bekas pemain nombor satu dunia itu diberi tentangan sengit oleh Elise dalam aksi yang berlarutan sehingga dua jam dan 30 minit.

Pada aksi suku akhir, Elise pemain pilihan ke-13 akan berdepan gandingan beregunya, pemain Belarus dan pilihan ketujuh, Aryna Sabalenka, yang menewaskan pemain Amerika Syarikat, Jessica Pegula 6-1, 6-2 dalam masa 52 minit.

Aksi suku akhir yang lain membabitkan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty menentang pilihan kesembilan, Petra Kvitova sementara pemain pilihan kelapan, Belinda Bencic berdepan pemain di ranking 62 dunia dari Sepanyol, Paula Badosa.

Anastasia Pavlyuchenkova pula akan berdepan sama ada Maria Sakkari atau Karolina Muchova.

Pemain Russia itu menyingkirkan naib juara Terbuka Australia, Jennifer Brady 7-5, 6-7 (8/10), 6-3.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, pemain nombor empat dunia, Thiem mara selepas menyingkirkan pemain Amerika Syarikat, Marcos Giron, 6-1, 6-3 dalam perlawanan pertamanya selepas hampir dua bulan.

Pemain Austria itu beraksi buat pertama kali sejak kekalahan mengejut kepada Lloyd Harris di Dubai, mengatasi lawan di ranking ke-91 untuk mara ke peringkat berikutnya berdepan pemain Australia, Alex de Minaur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 8:26 AM