Aksi pemain Young Elephants Pahang dan UITM HA-KPT di TNB MHL 2024 di Stadium Wisma Belia Kuantan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Aksi pemain Young Elephants Pahang dan UITM HA-KPT di TNB MHL 2024 di Stadium Wisma Belia Kuantan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kemenangan bergaya 4-2 ke atas JM Antsbees, kelmarin menjadi pembakar semangat buat pemain Young Elephants Pahang untuk meraih kejayaan pada pertemuan dengan Kuala Lumpur City pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 di Stadium Wisma Belia, esok.

Skuad remaja berkenaan kini berada di tangga ke sembilan liga mengumpul enam mata di hadapan ATM dan JM Antsbees yang menghuni kedudukan terbawah.

Jurulatih Young Elephants Pahang, Mohd Sufian Mohamad berkata kemenangan diperlukan dalam memastikan pasukan tidak terus berputih mata gagal melangkah ke suku akhir.

Katanya, semangat pemain kini berada di kemuncak selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas JM Antsbees, kelmarin. Kejayaan sama diharap dapat dilakukan ke atas pasukan Kuala Lumpur City, esok.

Menurutnya, pasukan Kuala Lumpur City kini berada di tangga kelapan liga, mereka memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke suku akhir seterusnya melengkapkan jadual perlawanan liga musim ini.

"Skuad Young Elephants Pahang juga ingin menamatkan saingan liga musim dengan kemenangan bergaya di gelanggang sendiri, pemain ditagih untuk memberi persembahan yang terbaik dan penuh semangat.

"Lebih penting kita memerlukan kemenangan dalam memburu peluang layak beraksi ke peringkat suku akhir," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, perlawanan esok dijangka sengit kerana Kuala Lumpur City memerlukan seri, pada masa sama Young Elephants Pahang perlukan kemenangan untuk melangkah ke suku akhir.

Mohd Sufian berkata, pemain berjanji untuk turun dengan misi kemenangan, setiap kelemahan sebelum ini tidak akan diulangi.

Usaha memburu jaringan perlu dilakukan seawal permainan.

"Saya ingat pemain supaya tidak terlalu banyak melakukan kesilapan dan berusaha menyekat setiap asakan lawan, jentera serangan perlu melakukan penyudah dengan berkesan setiap peluang terhidang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 4:47 PM