ARUL Selvaraj harapkan prasarana dan pengurusan pengangkutan adalah terbaik. FOTO Bernama
ARUL Selvaraj harapkan prasarana dan pengurusan pengangkutan adalah terbaik. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selain cabaran atas padang, skuad hoki negara bakal berdepan jarak perjalanan yang jauh di antara venue memandangkan Piala Dunia 2023 diadakan di dua bandar utama di negeri pantai timur India, Odisha iaitu Bhubaneswar dan Rourkela.

Jarak di antara dua bandar itu lebih 300 kilometer yang memakan masa hingga sembilan jam perjalanan melalui darat atau dua jam penerbangan dan skuad Skuad 'Malaysian Tigers' yang berada di ranking ke-11 dunia itu perlu berulang alik untuk berdepan beberapa perlawanan dijadualkan.

Mereka akan berlepas ke Bhubaneswar Jumaat ini dan meneruskan perjalanan ke Rourkela menaiki pesawat disewa khas penganjur untuk tiga perlawanan pertama, sebelum kemudiannya terbang kembali ke Bhubaneswar bagi perlawanan seterusnya.

Di Rourkela, skuad negara akan bertemu Sepanyol dalam aksi pemanas badan pada 11 Januari, sebelum memulakan kempen Kumpulan C menentang juara tiga kali dan pasukan nombor tiga dunia Belanda (14 Januari), seterusnya berdepan Chile (16 Januari) di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda yang baharu dibina.

Pasukan kendalian A Arul Selvaraj itu akan kembali ke Bhubaneswar untuk mengharungi aksi terakhir kumpulan menentang pasukan nombor sembilan dunia, New Zealand (19 Jan) di Stadium Kalinga.

Skuad Malaysian Tigers akan meneruskan kempen di Bhubaneswar jika menamatkan saingan di tiga tempat teratas atau terpaksa kembali ke Roukerla untuk aksi klasifikasi (penentuan).

Menurut Arul Selvaraj ada beberapa pemain pernah beraksi di Bhubaneswar, tetapi belum pernah sampai ke Rourkela dan hasrat untuk membawa pegawai tambahan juga tidak kesampaian apabila penganjur mengehadkan kepada 30 orang setiap pasukan kerana perlu sewa pesawat.

"Ia kira-kira sembilan jam perjalanan melalui darat, jadi kita memutuskan untuk tidak bawa pegawai tambahan bagi laluan tersebut memandangkan tiada penerbangan (komersial) ke Roukerla. Saya tidak begitu gemar (perjalanan jauh ketika kejohanan), tetapi diharapkan prasarana dan pengurusan pengangkutan adalah baik.

"Penganjur telah melakukan semua urusan logistik dari segi pengangkutan dan hotel, jadi saya harapkan semuanya baik. Kita hanya akan tahu apabila kita tiba di sana nanti," katanya baru-baru ini.

Berdasarkan format kejohanan juara kumpulan akan terus layak ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan bersaing dengan pasukan Kumpulan D yang terdiri daripada England, India, Sepanyol dan Wales, dalam pusingan kalah mati bagi memburu slot ke suku akhir.

Pusingan kalah mati, suku akhir, separuh akhir dan final akan berlangsung di Stadium Kalinga, manakala pasukan yang tewas akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi di Stadium Birsa Munda.

Sebanyak 20 daripada 44 aksi bagi Piala Dunia kali ini akan diadakan di Stadium Birsa Munda, yang juga stadium hoki terbesar India dengan kapasiti 20,000 penonton, manakala selebihnya di Stadium Kalinga yang menjadi venue tunggal bagi Piala Dunia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 7:49 PM