BARISAN pemain THT muncul juara Piala TNB. FOTO FB Hokita
BARISAN pemain THT muncul juara Piala TNB. FOTO FB Hokita
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan Hoki Terengganu (THT) menggagalkan misi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk merangkul tiga kejuaraan buat kali kedua, apabila ia menjulang Piala TNB menerusi penentuan pukulan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional di sini malam ini.

Selepas memperoleh Piala Sumbangsih dan menjadi juara liga MHL 2021, UniKL berharap untuk melengkapkan tiga kejuaraan buat kali kedua tetapi THT menewaskan mereka 2-0 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 untuk menjadi juara Piala TNB buat kali keenam dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik.

UniKL selaku juara bertahan bermula dengan baik apabila menjaringkan gol awal menerusi percubaan penyerang veteran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit kesembilan dan pemain berusia 35 tahun itu menggandakan jaringan selepas menyempurnakan pukulan penalti empat minit kemudian.

Beberapa saat sebelum berakhir suku pertama permainan, penyerang utama THT Faizal Saari mengurangkan jurang gol dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 100 penyokong.

Melangkah empat minit suku kedua, pasukan pantai timur itu mula mengasak UniKL untuk menambah jaringan dan Arif Syafie Ishak menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-17 serta gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-19.

Kedua-dua pasukan mula mengambil langkah berhati-hati apabila masuk suku ketiga tetapi pemain pertahanan kebangsaan Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya menyamakan kedudukan 3-3 untuk UniKL menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Faizal yang juga penyerang kebangsaan sekali lagi meletakkan THT di hadapan dengan kedudukan 4-3 pada minit ke-38 dan muncul penjaring gol terbanyak musim ini dengan 16 gol, tetapi jaringan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-51 sekali lagi mengikat kedudukan jaringan memaksa penentuan pukulan penalti dilakukan bagi menentukan juara kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 12:03 AM