ANDRICH (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
ANDRICH (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
AFP

Leverkusen: Rembatan jarak jauh daripada Robert Andrich memastikan pendahulu Bundesliga, Bayer Leverkusen menang 2-1 di tempat sendiri ke atas Mainz, awal pagi tadi, sekali gus mencipta rekod baharu Jerman dengan 33 perlawanan tanpa kalah.

Gol Andrich dibantu oleh kesilapan penjaga gol Mainz, Robin Zentner dari Mainz, yang membenarkan bola masuk ke dalam jaring menerusi tangannya.

Leverkusen dilihat gugup dan melakukan beberapa kesilapan tetapi kemenangan itu memberikan mereka kelebihan 11 mata di depan Bayern Munich dalam usaha untuk merebut gelaran Bundesliga buat kali pertama.

"Kami harus jujur ​​dan berkata kami tidak beraksi dengan baik serta agak bertuah untuk menang. Kami berpuas hati dapat memungut tiga mata," kata Andrich kepada DAZN.

Leverkusen, yang sudah mencatatkan 29 kemenangan dan seri empat kali daripada 33 perlawanan musim ini, memecahkan rekod yang dilakukan Bayern pimpinan Hansi Flick pada 2019 dan 2020, musim yang turut menyaksikan mereka memenangi Liga Juara-Juara.

"Saya tidak kisah (mengenai rekod) sebelum ia berlaku, tetapi apabila ia berlaku, saya sangat bangga.

"Sangat bagus kami meraih pencapaian itu. Anda tidak mendapat pingat untuknya tetapi bagus melalui proses itu.

"Kami mencapai perkara yang hebat, tetapi kami tidak akan berhenti di sini," kata jurulatih, Xabi Alonso.

Alonso juga terus menutup mulut berhubung khabar angin dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool untuk menggantikan Jurgen Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 7:22 AM