JUNIOR Eldstal. -FOTO FAM
JUNIOR Eldstal. -FOTO FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Junior Eldstal berazam membalas kepercayaan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon (KPG) sekiranya diturunkan dalam mana-mana aksi Piala Asia di Qatar, bermula Jumaat ini.

Jelas tonggak pertahanan kacukan itu, dia berterima kasih kepada Pan-gon kerana menyenaraikan namanya dalam 26 pemain akhir yang di bawa ke Qatar itu.

Katanya, Pan-gon seorang jurulatih yang tahu menggunakan kelebihan setiap pemain mengikut taktikal tertentu dan dia percaya jurulatih dari Korea Selatan itu tahu masa sesuai untuk membenarkan dirinya bermain.

"Saya punya impian adalah untuk bermain dengan negara lagi dan saya dapat peluang ini. Jurulatih KPG pun memberikan saya kepercayaan dan dia tahu menggunakan saya.

"KPG beritahu lagi, nikmatilah peluang bermain untuk Malaysia dan setiap pemain membawa nama negara," katanya yang kini beraksi di liga utama Indonesia bersama Dewa United.

Saingan Piala Asia bakal membuka tirainya pada Jumaat ini babitkan aksi pembukaan antara tuan rumah yang juga juara bertahan, Qatar menentang Lubnan.

Manakala aksi skuad Harimau Malaya yang akan dapat disaksikan pada awal pagi 16 Januari ini dengan bertemu Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E di Stadium Al Janoub.

Selepas itu, skuad negara akan meneruskan kempen berdepan Bahrain dan Korea Selatan masing-masing pada 20 dan 25 Januari, sebelum cuba mengintai peluang mara ke peringkat 16 terbaik.

Untuk melepasi peringkat kumpulan, Malaysia perlu menamatkan saingan sama ada sebagai juara, naib juara atau empat pasukan ketiga terbaik dari setiap kumpulan untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati.

Dalam perkembangan sama, Eldstal yang memiliki darah Malaysia-England akui terharu dengan sokongan padu penyokong apabila sanggup berhabis duit hadir ke Qatar.

"Terima kasih banyak penyokong yang boleh datang bersama-sama dan berada di sini bersama kami. Anda tahu, ia adalah pengalaman yang besar untuk kita semua, satu negara dan, ia bagus supaya kita nikmati semuanya bersama-sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 12:37 PM