Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kain rentang bersaiz gergasi bakal mengiringi perjuangan Terengganu FC (TFC) pada aksi final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Malah peminat setia skuad Penyu itu juga bakal membawa bendera negeri gergasi bagi menyemarakkan lagi semangat pemain ketika berdepan skuad Harimau Selatan itu.

Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak dan Futsal Terengganu atau lebih dikenali 'Geng 12', Mohd. Juslihadi Mohamad, 38, berkata, mereka bergotong-royong hampir seminggu untuk menyiapkan bendera dan kain rentang itu.

Katanya, sebanyak RM3,000 dibelanjakan dengan kerja-kerja menghasilkan bendera dan kain rentang bersaiz 15 x 15 meter itu yang dimulakan sejak Jumaat lalu.

Lebih unik lagi katanya, pemilihan kata-kata semangat untuk dipaparkan di kain rentang itu dibuat melalui pertandingan secara dalaman yang disertai ahli kelab penyokong itu.

"Bendera dan kain rentang gergasi dengan kata-kata semangat kepada pasukan kesayangan itu diharap dapat menaikkan moral pemain skuad Penyu selain memeriahkan suasana final.

"Komitmen ditunjukkan ahli 'Geng 12' sangat tinggi bagi menyiapkan bendera negeri dan kain rentang gergasi demi menzahirkan sokongan kepada TFC.

"Selain bendera dan kain rentang, kami juga akan hadir dengan 10 buah bas yang sudah bersedia membawa 500 ahli kelab ke stadium keramat itu," katanya ketika ditemui di Kampung Tebakang dekat Bukit Payung, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 12:39 PM
Geng 12 FC menyiapkan bendera negeri dan kain rentang bersaiz gergasi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia JDT. -FOTO Ghazali Kori
Geng 12 FC menyiapkan bendera negeri dan kain rentang bersaiz gergasi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia JDT. -FOTO Ghazali Kori