GAYA Elmas meraikan gol kedua Napoli.
GAYA Elmas meraikan gol kedua Napoli.
AFP

Milan: Walter Mazzarri meraikan kepulangannya sebagai jurulatih Napoli dengan kemenangan sukar 2-1 di Atalanta manakala AC Milan kekal di tangga ketiga selepas menewaskan Fiorentina 1-0 dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Eljif Elmas menjaringkan gol kemenangan 11 minit sebelum tamat permainan di Stadium Gewiss selepas Khvicha Kvaratskhelia meletakkan Napoli di depan pada babak pertama yang kemudiannya disamakan Ademola Lookman.

Skuad Mazzarri masih tujuh mata di belakang pendahulu Inter Milan yang berkunjung ke Turin Ahad untuk menentang Juventus.

Mazzarri kembali ke Napoli minggu lalu susulan Rudi Garcia dipecat iaitu hampir sedekad selepas membawa kelab selatan Itali itu kembali ke liga utama Itali.

Pengendali berusia 62 tahun itu membawa Napoli menjuarai Piala Itali 2012 dengan menewaskan juara liga Juventus untuk trofi utama pertama mereka dalam tempoh dua dekad sebelum berpindah ke Inter Milan.

Kepulangan semula Mazzarri tepat pada masanya menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada Khamis ini.

Napoli kini di tangga kedua Kumpulan C, lima mata di belakang Madrid dan empat mata di depan pasukan di tangga ketiga Braga yang akan menentang Union Berlin dengan dua baki perlawanan.

Sementara itu, jaringan penalti Theo Hernandez ketika menentang Fiorentina membolehkan Milan kekal di tangga ketiga dalam perlawanan menyaksikan Francesco Camarda yang berusia 15 tahun muncul pemain termuda beraksi Serie A.

Pertahanan Perancis, Hernandez tenang menyempurnakan penalti sejurus sebelum rehat selepas dikasari Fabiano Parisi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 9:38 AM