JESUS dikatakan belum pulih sepenuhnya ketika menentang Argentina.
JESUS dikatakan belum pulih sepenuhnya ketika menentang Argentina.
Agensi

London: Arsenal bermula cemerlang musim ini dalam misi skuad Mikel Arteta memberikan cabaran dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas memperkuatkan pasukan mereka pada jendela perpindahan pemain musim panas, Arsenal kini hanya satu mata di belakang pendahulu carta Manchester City.

Mereka juga menduduki tangga teratas kumpulan Liga Juara-Juara selepas menewaskan kelab Belanda, PSV Eindhoven dan Sepanyol, Sevilla (dua kali).

Gunners kembali beraksi selepas rehat aksi antarabangsa apabila menentang Brentford awal pagi Ahad ini dengan kemenangan terakhir ke atas Burnley 3-1.

Namun sesuatu yang membimbangkan Mikel Arteta ialah penyerang Brazil, Gabriel Jesus beraksi 90 minit ketika menentang Argentina dalam saingan kelayakan Piala Dunia semalam.

Pengurus Gunners itu tidak mahu Jesus menyertai Brazil kerana dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring tetapi jurulatih Brazil, Fernando Diniz berkata, Jesus dalam keadaan baik.

Kali terakhir Jesus beraksi untuk Arsenal pada 24 Oktober ketika menewaskan Sevilla 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi terlepas aksi menentang Sheffield United, Newcastle, West Ham, Sevilla dan Burnley.

Arsenal juga bakal berkunjung ke Brentford tanpa penjaga gol David Raya dan pemain tengah Fabio Vieira.

Raya menyertai Arsenal secara pinjaman dari Brentford dengan pilihan belian tetapi tidak boleh menentang kelab asalnya dan Aaron Ramsdale bakal tampil untuk aksi liga pertamanya sejak diturunkan ketika menentang Manchester United 3-1 pada 3 September.

Manakala Vieira digantung tiga perlawanan susulan kad merah diterima ketika menentang Burnley awal bulan ini. Pemain berusia 23 tahun itu juga bakal tersisih aksi menentang Wolves dan Luton Town.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 1:14 PM