MAN City berdepan 115 pertuduhan. FOTO AFP
MAN City berdepan 115 pertuduhan. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester City dan Chelsea berdepan risiko disingkirkan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pemotongan 10 mata ke atas Everton menjadi contoh yang kuat, menurut bekas penasihat kewangan kelab juara itu.

Pemotongan mata menyebabkan The Toffees terjerumus ke tangga kedua tercorot dan mereka bercadang untuk membuat rayuan.

City berdepan 115 pertuduhan melanggar peraturan kewangan EPL dan Chelsea mungkin mengalami nasib sama mengenai pembayaran didakwa membabitkan bekas pemilik Roman Abramovich.

Stefan Borson, peguam yang menasihati City, menciap selepas berita mengenai Everton tersebar semalam: "Tanpa melihat kepada penghakiman/anugerah -10 mata terhadap Everton, saya berasa ia terlalu keras bagi pelanggaran FFP (Financial Fair Play).

"Namun penggantungan terhadap City (jika terbukti) dan kini Chelsea (jika didakwa dan diperakui mengenai pembayaran tidak sah) akan berpotensi mendorong penyingkiran ke liga bawahan."

Everton merudum ke tangga ke-19 EPL susulan pemotongan 10 mata itu kerana melanggar peraturan keuntungan dan kemampanan EPL.

Kelab itu dirujuk kepada suruhanjaya bebas pada Mac lalu kerana didakwa melanggar peraturan pada musim 2021-22 dan pendengaran kes dilakukan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 6:32 PM