PAN-GON memberi arahan kepada barisan pemain Harimau Malaya ketika perlawanan menentang Kyrgyzatan. -FOTO Aswadi Alias
PAN-GON memberi arahan kepada barisan pemain Harimau Malaya ketika perlawanan menentang Kyrgyzatan. -FOTO Aswadi Alias
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jantung pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon hampir 'terhenti' apabila melihatkan kebangkitan dramatik anak buahnya selepas membenam Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Malah, situasi lebih tegang di hujung permainan apabila Kyrgyzstan hampir meraih gol penyamaan keempat yang memungkinkan Pan-gon boleh terkena serangan jantung ekoran perlawanan yang dianggapnya cukup sengit itu.

"Sebagai jurulatih dalam situasi itu, saya hampir kena serangan jantung," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas aksi itu.

"Ia satu perlawanan yang menakjubkan dan ia bukan sebab perubahan taktikal saya tetapi para pemain sudah memberikan aksi terbaik buat negara.

"Saya bangga dengan reaksi pemain yang berjaya mengawal perlawanan walaupun selepas ketinggalan. Mana-mana jurulatih akan kena sakit jantung apabila ketinggalan 3-1.

"Tetapi pemain tunjukkan semangat tidak putus asa dan mahu menang yang buatkan saya bangga dengan semua pemain," kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Empat gol skuad negara diraih menerusi dua gol tandukan Dion Cools masing-masing di minit ketujuh dan 77 sebelum dua lagi hasil jaringan sendiri Khristiin Brauzman (m-71) dan Faisal Halim (m-93).

Manakala tiga gol Kyrgyzstan menerusi Zhyrgalbek Kairat (m-41), Batyrkanov Erniest (m-44) dan Merk Kai (m-57).

Menerusi kemenangan itu, Malaysia berjaya mengutip tiga mata maksimum untuk menghuni tangga kedua Kumpulan D di belakang Oman yang turut meraih kemenangan 3-0 ke atas Taiwan di Muscat.

Selepas ini, kem negara akan terbang ke Taiwan untuk mengharungi aksi kedua di tempat lawan pada Selasa ini.

"Kemenangan ini bagi saya memang penting sebelum kita berdepan Taiwan. Ia dapat memberi keyakinan untuk kita mengharungi perlawanan berikutnya," kata bekas jurulatih kebangsaan Hong Kong itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 1:35 PM