HAMIDIN (kanan) ketika bertemu dengan barisan legenda bola sepak negara. FOTO FAM
HAMIDIN (kanan) ketika bertemu dengan barisan legenda bola sepak negara. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kehebatan skuad Harimau Malaya di zaman kegemilangan era 70an dan awal 80an dijadikan panduan bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon ketika ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya berjaya meraih beberapa input dan cadangan daripada legenda bola sepak terutama bagi memperbaiki pasukan negara.

Katanya, pertemuan membabitkan 16 bekas pemain bersama Pan-gon dianggap mencapai objektif dengan masing-masing berkongsi idea.

"Sempena memperingati jasa wira negara ini dan seiring dengan final Pestabola Merdeka, saya satukan legenda dan pemain sekarang agar kita dapat sama-sama mendapatkan buah fikiran dalam menaikkan lagi prestasi dan mutu bola sepak negara khususnya Harimau Malaya.

"Selain berpeluang beramah mesra dan saling mengenali antara satu sama lain, sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir termasuk jurulatih Kim Pan-gon menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi Harimau Malaya.

"Perbincangan menghimpunkan bekas pemain iaitu legenda bersama pemain sekarang ini adalah yang pertama kali diadakan, hasilnya sangat bernas dengan masing-masing berkongsi tips dan idea dan kami akan mengguna pakai pandangan mereka untuk memperbaiki Harimau Malaya," kata Hamidin.

Selari dengan misi untuk terus memartabatkan lagi bola sepak negara, Hamidin meluangkan masa dengan sesi khas makan malam dan berkongsi idea bersama bekas pemain Harimau Malaya era 70an, 80an, 90an dan awal tahun 2000 di hotel penginapan skuad Harimau Malaya, malam tadi.

Seramai 16 bekas pemain Harimau Malaya yang hadir termasuk dua tonggak yang membawa Malaysia beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972 iaitu Datuk Santokh Singh dan Datuk Wira Soh Chin Ann serta tiga lagi yang menjuarai pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Moscow 1980 terdiri daripada Datuk Hassan Sani, Bakri Ibni dan Datuk Jamal Nasir.

Selebihnya tonggak kebangsaan yang pernah menjuarai Pestabola Merdeka, Sukan Sea dan Piala AFF iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk K Rajagobal, Datuk Subadron Aziz, Azman Adnan, Ahmad Shahrul Azhar, Datuk Dollah Salleh, Malek Rahman, Reduan Abdullah, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Shukor Adan.

Dijangka input yang diraih itu bakal memberi tonik tambahan buat Pan-gon dalam mempersiapkan pasukan menjelang saingan getir Januari depan apabila skuad Harimau Malaya bersaing di Piala Asia Qatar nanti.

Di pusingan akhir itu, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 10:24 AM