PETAR Segrt bercakap pada sidang media final Pestabola Merdeka di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
PETAR Segrt bercakap pada sidang media final Pestabola Merdeka di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
Syazwan Msar


Subang Jaya: Pengendali Tajikistan Petar Segrt berharap pengadil pada final Pestabola Merdeka menentang Malaysia esok) 'tidak buat hal' hingga mudah memberikan penalti kepada pasukan.

Hal ini kerana, pengendali berusia 57 tahun itu berkata, pengadil seharusnya bertimbang rasa kerana keadaan padang mungkin tidak memuaskan seperti yang terjadi pada perlawanan Malaysia menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat lalu.

Beliau berkata, barisan pemain Tajikistan sudah bersedia untuk melakukan kejutan dengan membawa pulang piala Pestabola Merdeka di hadapan puluhan ribu penyokong skuad Harimau Malaya sekali gus berharap pengadil tidak merencatkan perancangan itu.

"Saya berharap pengadil kali ini akan melihat situasi padang kerana mungkin pemain berlari dan akan terjatuh. Harap pengadil tidak mudah untuk berikan penalti pada perlawanan itu.

"Tapi kita menerima apa saja ketentuan pengadil kerana bagi Tajikistan inilah masa untuk berjuang dan merebut piala," katanya, pada sidang media pra perlawanan final Pestabola Merdeka, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, pengendali berasal dari Croatia itu berkata, pasukannya kali ini boleh dikatakan agak tempang apabila 15 tonggak utamanya tidak dapat turut serta pada perlawanan kali ini kerana sebab tertentu.

"Kami mempertaruhkan pemain muda dengan rata-rata berusia 21 tahun dan paling muda pun berusia 16 tahun supaya mereka dapat meraih pengalaman pada kejohanan ini.

"Walaupun, Tajikistan tanpa pemain utama namun kita tetap memasang impian untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka.Kami melawan habis-habisan walaupun mengetahui Malaysia mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri," katanya.

Mengikut rekod, Tajikistan terus beraksi di pentas final Pestabola Merdeka selepas pasukan Palestin mengambil keputusan menarik diri saat akhir kerana serangan balas membabitkan pihak tentera Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

Malaysia pula menempah slot final selepas menang berjaya mengatasi India 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di SNBJ Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 1:22 PM