GARRIDO dijangka 'naik pangkat' sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara. FOTO FB FAM
GARRIDO dijangka 'naik pangkat' sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Senarai akhir ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara sudah hampir dimuktamadkan dengan kemungkinan besar penolong jurulatih pasukan muda itu, Juan Torres Garrido akan 'dinaikkan pangkat' untuk menggalas tanggungjawab itu.

Lebih menarik lagi, skuad muda negara akan lebih 'segar' kerana jawatan penolong jurulatih pula disandang penolong jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, sekali gus menyaksikan pasukan B-23 negara akan melalui pembaharuan sebagai persediaan mengharungi Piala Asia B-23 di Qatar, April tahun depan.

Menurut sumber, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat ini sebaik selesai segala urusan dokumentasi membabitkan jurulatih berasal dari Sepanyol itu.

Katanya, gabungan kepakaran asing dan tempatan mampu memantapkan lagi skuad B-23 negara selain turut mengikut falsafah permainan seperti diamalkan pasukan senior Harimau Malaya.

"Sudah hampir pasti Juan Garrido menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih B-23 negara dengan dibantu Nidzam, sekali gus menyaksikan tenaga pakar muda digunakan untuk menguatkan pasukan itu.

"Namun, FAM ada perancangan lain iaitu sekiranya ada masalah membabitkan Juan Garrido, mungkin tempatnya akan diganti penolong jurulatih Barcelona B-18 Tahun, Pau Marti Vicente yang kini sebagai pembantu kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, FAM mengumumkan E Elavarasan meletak jawatan sebagai pengendali B-23 negara.

Bermula 2010, Juan Garrido mula berkhidmat bersama CF Damm yang berpangkalan di Barcelona sebagai jurulatih B-18, penganalisis, pencari bakat dan pengarah teknikal.

Selepas itu, dia berhijrah ke FC Barcelona dengan berperanan sebagai ketua pencari bakat bagi wilayah Catalunya dan jawatan terakhirnya sebelum berpijak di bumi Malaysia adalah ketua bola sepak remaja profesional B-23 bersama Granada FC.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan senarai akhir barisan kejurulatihan skuad muda negara itu sudah ada dan akan diumumkan presiden badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam tempoh terdekat ini.

"Berkaitan siapa yang akan menggalas tanggungjawab itu biarlah presiden umumkan kerana nama pun memang sudah ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 6:27 PM