ALIF Ikmalrizal (kanan) janji bantu pasukan untuk layak ke peringkat seterusnya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
ALIF Ikmalrizal (kanan) janji bantu pasukan untuk layak ke peringkat seterusnya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar sedia menjadi senjata pasukan untuk merobek gawang Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Chonburi, Bangkok malam esok.

Alif yang meraih anugerah penjaring terbaik Kejuaraan AFF B-23 di Rayong, Thailand pada bulan lalu sedia memainkan peranannya di bahagian depan sekiranya dipilih pengendali pasukan, E Elavarasan nanti.

Katanya, ketika ini misinya adalah untuk membantu melakar kemenangan sekali gus membawa pasukan layak ke Piala Asia di Qatar, April depan.

"Alhamdulillah saya rasa semua pemain tak ada yang cedera dan tak sihat. Semua boleh bagi 100 peratus pada malam esok.

"Persiapan saya bila diberi peluang pada malam esok, saya akan buat yang terbaik dan akan bantu pasukan untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya yang beraksi buat Penang FC dalam saingan Liga Malaysia.

Alif dianggap sandaran terbaik negara di jentera hadapan seperti mana dibuktikannya pada kempen AFF B-23 bulan lalu di mana dia mencetak tiga gol buat pasukan.

Begitupun, dalam dua aksi kelayakan bertemu Bangladesh dan Filipina sebelum ini, dia masih belum menemui sentuhan jaringannya.

Selain Alif, terdapat tiga lagi ayam tambatan yang boleh dipertaruhkan iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Fergus Tierney dan Aliff Izwan Yuslan.

"Sebagai penyerang tekanan perkara biasa. Saya harap pada malam esok boleh bantu pasukan untuk layak. Saya harap penyokong di Malaysia terus menyokong kami," tambahnya.

Skuad negara ketika ini memerlukan kemenangan ke atas pasukan Gajah Perang itu bagi menamatkan kedudukan selaku juara Kumpulan H.

Ia kerana, juara kumpulan akan meraih tiket automatik ke Piala Asia namun sekiranya gagal Malaysia masih berpeluang dengan mengintai kedudukan empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan untuk mara.

Namun pemain negara boleh mengelak 'memilih jalan kedua' itu dengan sebaliknya memburu tiga mata penuh bagi menolak Thailand ke tempat kedua selepas masing-masing memungut enam mata daripada dua kemenangan diraih ke atas Filipina dan Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:01 PM