NORIZAM berkata pemilik baharu perlu sambung tuntutan dengan Kafa. FOTO Ihsan Kelantan FC
NORIZAM berkata pemilik baharu perlu sambung tuntutan dengan Kafa. FOTO Ihsan Kelantan FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jutaan ringgit nampaknya perlu disediakan calon baharu pemilik Kelantan FC yang juga seorang peguam, Kamal Hisham Jaafar jika membeli kelab itu.

Menurut pemilik semasa skuad The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman, tanda harga yang bakal diletakkan haruslah merangkumi modal yang sudah dilaburkannya selama empat musim serta hutang Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) bernilai RM3.8 juta.

"Hutang lama atau baru di TRW Kelantan FC saya akan selesaikan, cuma pembeli bayar sekurang-kurangnya modal yang sudah saya keluarkan selama empat musim ini termasuk bayarkan semula hutang Kafa RM 3.8 juta ke saya semula.

"Pemilik baru sambung tuntutan di Kafa. Saya tak untung tak mengapa, asal balik modal. Kalau rugi, biarlah bersesuaian," katanya yang lebih popular dengan gelaran Zamsaham atau Zamburger.

Semalam, Arena Metro melaporkan kini muncul 'wira' baharu yang mahu menyelamatkan maruah Kelantan FC apabila Kamal menawarkan diri membeli kelab terbabit.

Jelas Kamal di laman Facebooknya, dia sedia membeli TRW jika harga kelab terbabit munasabah.

Menurut Norizam lagi, Kamal perlu menyediakan proof of fund atau pembuktian dana serta melakukan perbincangan lanjut bersamanya.

"Penswastaan siapa-siapa pun boleh beli. Setakat ini saya belum terima apa-apa bukti pelan penambahbaikan dan bukti fund dari yang berminat.

"Dulu masa TRW di Liga Perdana saya beli pun kena buktikan proof of fund dengan membayar deposit RM3juta terus sebelum bayar habis semua hutang dengan nilai RM7juta. Terus buat dan selesai.

"Apa-apa keputusan, saya akan bawa kepada perhatian MFL dan mesyuarat luar biasa EGM sebelum saya putuskan penjualan. Buat masa sekarang, saya tak ada terima apa-apa yang sah dari mana-mana pihak…yang cakap ramai.

"Peguam Kamal Hisyam, boleh hubungi saya. Dia ada nombor saya sudah itu. Kita jumpa dan bincang berbincang," katanya.

Sebelum ini, terdapat dua usahawan turut menyatakan minat mendapatkan TRW daripada Norizam namun usaha itu gagal selepas perbincangan tidak mencapai persetujuan bersama.

Antara pihak yang menyatakan minat sebelum ini adalah usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Vida serta ahli perniagaan pusat kecergasan, Erfan Akif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:32 PM