NAZARI (kanan) selepas meledak gol pertama ketika berdepan KL City Jumaat lalu. FOTO TFC
NAZARI (kanan) selepas meledak gol pertama ketika berdepan KL City Jumaat lalu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas membuka 'akaun' gol pertama musim ini, pemain tengah Terengganu FC (TFC), Omid Nazari kian bersemangat untuk memburu jaringan seterusnya apabila pasukannya bakal berdepan PDRM FC, Ahad ini.

Jelas pemain kelahiran Sweden berusia 32 tahun itu, dia juga mahu 'menutup mulut' pengkritiknya dengan aksi bertenaga dan lebih mantap pada aksi seterusnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pada aksi ke-16 Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Jumaat lalu, bekas pemain kebangsaan Iran itu berjaya meledak gol sulung perlawanan yang juga gol peribadi pertamanya ketika TFC terikat 3-3.

Malah pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan skuad Penyu itu berjaya mencipta hantaran gol sebelum rakan sepasukannya, Ivan Mamut meledak gol penyamaan bagi membolehkan skuad itu membawa pulang satu mata.

"Tiada perkataan lain selain begitu gembira kerana berjaya menjaringkan gol pertama peribadi pada musim ini selepas beberapa kali mencuba, malah lebih menggembirakan lagi jaringan itu pada saya begitu cantik sehingga menyukarkan penjaga gol menepisnya.

"Impian saya jika diturunkan jurulatih menentang PDRM FC nanti, sudah pasti mahu menambah koleksi jaringan peribadi selain memperagakan aksi terbaik untuk membantu pasukan melakar kemenangan.

"Bagaimanapun ia terserah kepada strategi barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Tomislav Steinbruckner), tapi jika boleh saya mahu beraksi," ujar bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) musim lalu itu.

Terdahulu Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengikat pemain tengah pasukan kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov bagi memperkuatkan nadi skuad Penyu itu yang sebelum ini dilihat longgar.

Kehadiran pemain 'arkitek' terbaik Liga Uzbekistan itu sudah pasti menjanjikan persaingan lebih sengit kepada pemain tengah lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 2:46 PM