DEL Valle Rodriguez diraikan rakan sepasukan selepas membolosi gawang Kuching City. FOTO Bernama
DEL Valle Rodriguez diraikan rakan sepasukan selepas membolosi gawang Kuching City. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Selangor FC merakam kemenangan ke-11 dalam saingan Liga Super musim ini apabila menundukkan Kuching City FC 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu turut menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe terus kekal berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 34 mata daripada 15 aksi setakat ini.

Sebaliknya kekalahan itu meletakkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim tidak berganjak untuk berada di tangga ke-12 daripada 14 pasukan bertanding.

Dalam aksi itu, tuan rumah nyata mendominasi aksi dan berpeluang meledak gol menerusi ketua pasukan Brendan Gan di minit ketujuh, namun rembatannya agak lemah dan mudah diselamatkan penjaga gol Shaiful Wazizi Mohammad.

Selang tiga minit kemudian, Faisal Halim membuat percubaan selepas menerima hantaran Mukhairi Ajmal tetapi ia tepat ke arah Shaiful.

Kesilapan pertahanan Rames Lai yang tertampan bola di dalam kotak penalti akhirnya dihukum apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Selangor.

Penjaring terbanyak Red Giants, Ayron Del Valle mudah melaksanakan tugasnya untuk meletakkan Selangor di depan pada minit ke-25, yang juga gol ke-14 dalam saingan Liga Super.

Bersambung babak kedua, tuan rumah meningkatkan 'suhu' permainan bagi menambah gol.

Tindakan bijak tonggak gantian, Yohandry Orozco yang menonjol bola pada minit ke-55 berjaya menambah kelebihan Selangor, manakala ia memberi tekanan buat pelawat.

Percubaan paling hampir buat Kuching City adalah menerusi Abu Kamara di minit 57 namun rembatan pemain import itu sempat dihalang pertahanan, Zikri Khalili.

Usaha berterusan skuad The Cats akhirnya berhasil di hujung permainan apabila pemain gantian Amir Amri Salleh mencetak gol di minit 89 untuk merapatkan kedudukan, namun kebangkitan itu tidak mampu menghalang Selangor meraih kemenangan.

Selepas ini, Selangor akan berkunjung ke Kuantan untuk berdepan Sri Pahang FC, Ahad ini, manakala Kuching City menentang Sabah FC di Likas, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:28 PM