MODRIC (kanan) meraikan kejayaan dengan rakan sepasukan. -FOTO AFP
MODRIC (kanan) meraikan kejayaan dengan rakan sepasukan. -FOTO AFP
AFP

Rotterdam, Belanda: Bruno Petkovic dan Luka Modric menjaringkan gol pada masa tambahan untuk memacu Croatia ke final Liga Negara-Negara dengan kemenangan 4-2 ke atas tuan rumah Belanda.

Skuad kendalian Zlatko Dalic, yang mara ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu, kini hanya tinggal selangkah saja lagi untuk memperoleh trofi pertama mereka dan sekali lagi menyaksikan mereka adalah pakar masa tambahan.

Andrej Kramaric dan Mario Pasalic menjaringkan gol pada separuh masa kedua selepas Donyell Malen meletakkan Belanda di depan, tetapi Noa Lang menyamakan kedudukan pada minit ke-96 untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Bagaimanapun Petkovic berjaya melepaskan diri dari Frenkie de Jong dan melakukan percubaan dari luar kotak penalti untuk meletakkan Croatia di depan lapan minit di masa tambahan dan Modric melengkapkan kemenangan dengan sepakan penalti.

Liga Negara-Negara adalah salah satu peluang terakhir buat Croatia termasuk pemain tengah Real Madrid, Modric, untuk mengecapi kejayaan antarabangsa.

"Ia adalah kemenangan untuk rakyat Croatia, kami menewaskan Belanda di hadapan penyokong mereka, Croatia berpeluang untuk mendapatkan satu lagi pingat," kata jurulatih Croatia Dalic.

"Tiada apa yang mengejutkan, mereka tahu mereka bermain untuk siapa, lebih-lebihkan untuk Croatia. Anda melakukan semua untuk Croatia.

"Ini adalah salah satu kemenangan terbesar kami, apabila menang 4-2 di padang mereka, kami bolos pada minit ke-96.

"Sesungguhnya ini adalah kemenangan yang akan dicatat dalam sejarah."

Croatia hanya mengalami satu kekalahan dari 16 perlawanan terakhir mereka kepada pemenang Piala Dunia Argentina dan menggagalkan usaha Belanda untuk memenangi pertandingan pertama mereka sejak Kejohanan Eropah 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 7:48 AM