CITY akan bertemu Sheffield United malam ini. FOTO AFP
CITY akan bertemu Sheffield United malam ini. FOTO AFP
Agensi

London: Pemain utama Manchester City akan menerima bonus lebih daripada 2 juta pound (RM11 juta) setiap seorang jika mereka mencapai gelaran 'treble' bersejarah musim ini.

Skuad bimbingan Pep Guardiola mengesahkan tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara untuk musim ketiga berturut-turut, semalam apabila menewaskan Bayern Munich secara agregat 4-1.

City akan menentang Sheffield United pada separuh akhir Piala FA malam ini sebelum pertembungan penting Liga Perdana Inggeris di laman sendiri menentang Arsenal pada pertengahan minggu.

Juara bertahan itu empat mata di belakang Arsenal dengan satu perlawanan dalam tangan ketika mereka berhasrat untuk menjadi kelab pertama sejak Manchester United pada 2009 menjulang tiga kejuaraan berturut-turut.

Sistem bonus City distruktur secara individu dan bukannya berdasarkan jumlah yang dipersetujui serta dikongsi dalam kalangan skuad.

Difahamkan, bonus sekiranya memenangi liga antara 200,000 pound (RM1.09 juta) hingga 900,000 pound (RM4.94 juta) manakala jumlah yang ditawarkan untuk menjulang Piala FA agak kurang.

Pemain utama termasuk Kevin De Bruyne akan menerima bayaran kira-kira 1 juta pound (RM5.5 juta) jika berjaya membantu City menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Kemenangan terakhir City di Eropah adalah pada 1970 dalam saingan Piala Pemenang Piala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 4:26 PM