KIM Swee memantau anak buahnya ketika latihan persediaan menghadapi JDT. FOTO ihsan Sabah FC
KIM Swee memantau anak buahnya ketika latihan persediaan menghadapi JDT. FOTO ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC meletakkan harapan kepada lima pemainnya yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan untuk memantapkan pasukan bagi menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Kudrat lima pemain terbabit, Darren Lok, Daniel Ting, Dominic Tan, Damien Lim dan Stuart John Wilkin amat diperlukan selepas beberapa tonggak utama Sang Badak dilaporkan masih mengalami kecederaan.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kehadiran mereka akan memberi ruang terbaik kepada Sabah FC tampil lebih mantap pada perlawanan menentang JDT yang ditunggu ramai peminat bola sepak negara.

Katanya, beliau mempunyai masa dua hari melihat tahap kecergasan kelima-lima pemain terbabit sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya selepas kembali daripada menyertai skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong baru-baru ini.

"Kita tahu ada pemain yang bermain sebanyak dua perlawanan, ada juga bermain hanya satu perlawanan. Ini juga harus diambil kira dan bagi saya mereka adalah pemain yang sangat penting," katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi JDT.

Sementara itu, Kim Swee menyatakan kebimbangannya mengenai status empat tonggak pasukan yang dilaporkan mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak dapat diturunkan pada aksi menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Katanya, Sabah FC bergantung penuh kepada laporan perubatan bagi menentukan nasib empat pemain terbabit iaitu Telmo Castanheira, Saddil Ramdani, Jailton Paraiba dan Gary Steven Robbat.

"Mereka masih mengalami kecederaan dan kita bergantung penuh kepada laporan perubatan untuk menentukan kedudukan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 10:17 AM