Reaksi pertahanan Portugal, Pepe yang terlepas peluang menjaringkan gol sambil diperhatikan pemain Maghribi, Jawad El Yamiq. FOTO Reuters
Reaksi pertahanan Portugal, Pepe yang terlepas peluang menjaringkan gol sambil diperhatikan pemain Maghribi, Jawad El Yamiq. FOTO Reuters
Agensi

Doha: Pertahanan Maghribi, Jawad El Yamiq membuatkan peminat tertanya-tanya mengenai perangai pelik mencium kepala Pepe selepas pertahanan Portugal itu terlepas peluang untuk melakukan jaringan.

Skuad kendalian Walid Regragui terpaksa beraksi 10 pemain selepas Walid Cheddira dilayangkan kad merah pada masa kecederaan tetapi Maghribi berjaya menahan asakan Portugal untuk mencatat kemenangan 1-0.

Maghribi yang melakar kemenangan mengejut ke atas Sepanyol pada peringkat 16 terbaik, melangkah ke saingan suku akhir di Stadium Al-Thumama sebagai pasukan 'underdogs'.

Begitupun, Youssef En-Nesyri mengejutkan Portugal menerusi tandukan pada babak pertama untuk Maghribi mendahului, meletakkan lawan yang juga juara Euro 2016 itu tertekan.

Pertahanan Portugal, Pepe hampir menyamakan jaringan penting pada masa kecederaan tetapi dia gagal menanduk kemas ke gawang gol untuk mengatasi penjaga gol utama Maghribi, Yassine Bounou.

Pepe kelihatan begitu kecewa mengangkat kedua-dua tangan di atas kepala selepas gagal menemui sasaran dan El Yamiq kelihatan mencium kepala botak pemain itu yang disifatkan detik paling pelik pada Piala Dunia setakat ini.

Beberapa pengguna Twitter berkata reaksi El Yamiq dan Pepe detik yang sangat pelik buat mereka.

"Piala Dunia kali ini sangat pelik, tanda suka," tulis seorang peminat.

Seorang peminat lain pula berkata: "Jujur ini adalah perkara paling pelik yang saya lihat."

Pengendali Maghribi berkata dia memberitahu pemainnya sebelum perlawanan bahawa mereka perlu mencipta sejarah buat Afrika dengan menewaskan Portugal dan mara ke Separuh Akhir.

"Kami berjaya mengatasi pasukan yang sangat bagus seperti Portugal. Kami melakukan segala usaha, kami masih mempunyai beberapa pemain yang cedera.

"Saya memberitahu kepada pemain sebelum perlawanan kami harus mencipta sejarah buat Afrika. Saya sangat gembira." katanya.

Maghribi akan berdepan Perancis pada separuh akhir di Stadium Al-Bayt.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 11:19 PM