KHIDMAT Aidil Shahrin tidak lagi diperlukan KDA FC bagi saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
KHIDMAT Aidil Shahrin tidak lagi diperlukan KDA FC bagi saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan bekas pemain dan penolong jurulatih KDA FC, Victor Andrag sebagai pemangku ketua jurulatih (Interim) pasukan bagi menggantikan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Melalui kenyataan media rasmi hari ini, pengurusan KDA FC memaklumkan sedang melakukan satu tindakan yang perlu dalam pembentukan pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia selepas menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan kelapan, musim ini.

"KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan khidmat Aidil Sharin bersama pasukan Kedah sepanjang empat tahun di bumi Jelapang Padi dengan meninggalkan legasi dan rekod pasukan bola sepak Kedah.

"Antaranya, muncul juara Piala FA 2019, naib juara Liga Super 2020 dan 2021, layak ke peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022, termasuklah kejayaan membawa Kedah tiga tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada 2021 dan 2022.

"Ahli Lembaga Pengarah KDA FC memberi keutamaan perancangan kelab untuk musim 2023 dan mengumumkan untuk membawa haluan berbeza dengan Aidil Sharin untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini.

"Victor Andrag iaitu penolong ketua jurulatih KDA FC akan terus berkhidmat sebagai pemangku ketua jurulatih (Interim) KDA FC untuk baki saingan Liga Malaysia," katanya.

KDA FC turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Aidil Sharin dalam

kerjaya kejurulatihannya di masa hadapan dan percaya pengalaman kejurulatihannya itu cukup berharga bagi mana-mana kelab di peringkat liga domestik dan Asean.

Terdahulu, media KDA FC juga turut memuat naik ucapan pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkaitan perancangan akan dilakukan pengurusan KDA FC bagi menghadapi cabaran seterusnya dalam saingan Piala Malaysia musim ini dan musim baharu 2023 akan datang.

"Melihat melalui sudut pandang badan pengurusan, banyak tindakan perlu dilakukan untuk membentuk pasukan baru di masa hadapan dan dalam baki perlawanan di Piala Malaysia musim ini.

"Akan ada tindakan pentadbiran yang tidak popular dan sukar kepada sebahagian pihak dan ini adalah perlu serta lazim dilakukan dalam pengurusan sebuah kelab bola sepak di seluruh dunia.

"Kepada individu yang berjasa di bawah naungan Sang Kenari, jasa anda sentiasa menjadi kenangan dan kekal dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah.

"Tindakan yang sukar ini tidak menafikan rasa hormat dan penghargaan kami semua yang tinggi. Sekali bersama pasukan Sang Kenari, selamanya Sang Kenari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 2:18 PM