AMIRIZDWAN Taj (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada pemain muda supaya bangkit selepas mencipta keputusan seri menentang Guam. FOTO Ihsan Facebook Tun Khairal Afiq Jamal
AMIRIZDWAN Taj (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada pemain muda supaya bangkit selepas mencipta keputusan seri menentang Guam. FOTO Ihsan Facebook Tun Khairal Afiq Jamal
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Setiap kejayaan sudah pastinya ada individu yang memainkan peranan menjadi antara tulang belakang membantu memastikan pasukan mampu bangkit seterusnya mencipta keputusan luar biasa.

Hal ini juga terjadi kepada skuad bawah 16 tahun (B-16) negara apabila mereka secara tiba-tiba bangkit pada dua aksi terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) dengan membenam Emeriah Arab Bersatu 3-2 sebelum 'menghambat' Indonesia 5-1.

Ketika ini, tular video berdurasi satu minit 42 saat team talk pasukan muda negara itu sebenarnya memperoleh suntikan semangat daripada penolong jurulatih Amirizdwan Taj Tajudin.

Menerusi video berkenaan, Amirizdwan yang juga bekas pemain kebangsaan memberikan kata-kata semangat kepada pemain muda supaya bangkit selepas mencipta keputusan seri menentang Guam.

"Bagi sepenuh hati awak, sepenuh jiwa awak kepada team (pasukan)…setiap pass mesti jadi, setiap tackle mesti menang, setiap tanduk mesti dapat, setiap awak beaten (terlepas) mesti kejar.

"Hari ini awak keluar tunjuk pada dia orang, siapa patut menang…hari ini dia orang fikir biar give up (mengaku kalah) dengan awak, biar mereka tak nak lagi main dengan awak," katanya.

Pada perlawanan malam tadi skuad kendalian Osmera Omaro mempamerkan taring mereka apabila membelasah Indonesia 5-1 pada perlawanan terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 di Stadium Pakansari.

Dua jaringan pasukan negara disumbangkan Arami Wafiy manakala Zainurhakimi ZainAnjasmirza dan Afiq Danish Zulkifli masing-masing menyumbat satu gol.

Gol sagu hati pasukan tuan rumah pula dijaringkan Arkhan Kaka Putra pada masa tambahan separuh masa kedua.

Terdahulu, pasukan muda negara berjaya menumpaskan Emeriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 sekali gus bangkit selepas hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Guam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 5:32 PM