INSIDEN pergaduhan yang berlaku membabitkan penyokong Melaka United dan Sri Pahang. FOTO Ihsan pembaca
INSIDEN pergaduhan yang berlaku membabitkan penyokong Melaka United dan Sri Pahang. FOTO Ihsan pembaca

Oleh Nazri Abu Bakar

[email protected]

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) kesal dengan insiden provokasi penyokong pada perlawanan antara Melaka United (MU) dan Sri Pahang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Naib presiden MUSA, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, provokasi yang dikatakan dimulakan oleh segelintir penyokong pelawat akhirnya berlaku pergaduhan kecil amat dikesali ketika yang lain sedang asyik menonton perlawanan pada penghujung babak saingan.

Katanya, tindakan berkenaan di luar naluri semangat kesukanan ketika semua pihak datang ke stadium dalam situasi gembira dan diyakini selamat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka bersaing.

Menurutnya, dia juga hairan dan terkejut kerana ia berlaku dalam penyokong Pahang yang biasanya amat berdisiplin dan sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan mereka.

"Apapun ia segelintir dan terpencil dan apa yang kami harapkan kesemua penyokong mengawal emosi mereka dari bertindak di luar batasan norma sebagai penggiat dan pengikut setia bola sepak.

"Sementara penyokong Melaka diakui sentiasa mengawal tindakan mereka. Malah ketika saingan Piala FA dan liga berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) tiada insiden pergaduhan berlaku walaupun kehadiran penyokong yang ramai," katanya.

Khairi berkata, dalam aspek keselamatan MUSA memenuhi semua prosedur operasi dan kawalan yang tinggi kepada penyokong.

Malah pasukan keselamatan sentiasa meningkatkan kawalan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Dalam masa sama beliau memuji pasukan keselamatan yang bertindak dengan cekap untuk tidak berlaku kejadian yang di luar jangkaan.

Sebelum ini viral video yang tersebar di media sosial dan provokasi segelintir penyokong itu didakwa berlaku ketika aksi Liga Super antara Melaka United dan Sri Pahang yang masih berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 2:56 PM