Simon Elissetche
Simon Elissetche
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Isu tuntutan hutang membabitkan 'jurulatih tak jadi' KL City FC, Simon Elissetche boleh dikatakan sudah 'tutup buku' apabila pengurusan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) mengesahkan sudah melunaskan tuntutan berjumlah RM195,000 kepada jurulatih itu baru-baru ini.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard berkata isu berkenaan sepatutnya tidak timbul termasuklah skuad 'Warga Kota' akan dikenakan sekatan daripada mendaftarkan pemain baharu memandangkan sudah membuat pembayaran terbabit.

"Saya sudah menyemak dengan unit kewangan dan mereka memaklumkan pembayaran sudahpun dibuat. Jadi kemaskini akan dibuat pada Isnin (esok) kerana ia membabitkan pemindahan antarabangsa.

"Kita memang tiada masalah untuk selesaikan perkara itu mengikuti apa yang sudah dipersetujui. Memang kita sudah sediakan peruntukan yang diluluskan Lembaga Pengarah untuk membayar jumlah mengikut kontrak, tidak kurang tidak lebih.

"Apa yang penting, kami dapat menang Piala Malaysia di bawah Bojan Hodak," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan juara Piala Malaysia musim lalu itu bakal berdepan situasi 'bahaya' jika mengambil mudah terhadap tuntutan berjumlah lebih RM195,000 membabitkan Elissetche sebelum 9 April ini.

Perkara itu didedahkan oleh peguam kepada Elissetche, Zhafri Aminurashid apabila memaklumkan pasukan itu hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk melangsaikan tuntutan berkenaan.

Malah jika gagal berbuat demikian mereka akan berdepan penggantungan daripada mendaftarkan pemain asing dan pemain tempatan baharu.

Selain berisiko tidak boleh mendaftar pemain secara berturutan sehingga tiga tempoh pendaftaran jika gagal melunaskan tunggakan pada tarikh yang dinyatakan itu.

Zhafri menjelaskan KL City FC perlu menanggung akibat memandangkan organisasi itu dianggap sebagai 'sporting successor' kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 9:36 PM