Pemain Atletico Madrid, Mario Hermoso (tengah) meraikan jaringan berdepan Getafe CF di Stadium Wanda Metropolitano. FOTO AFP
Pemain Atletico Madrid, Mario Hermoso (tengah) meraikan jaringan berdepan Getafe CF di Stadium Wanda Metropolitano. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Jaringan lewat pemain gantian Mario Hermoso membolehkan Atletico Madrid menewaskan Getafe, 4-3 dalam aksi sengit saingan La Liga, pagi ini.

Perlawanan berlangsung cukup mendebarkan dengan enam gol dihasilkan dalam babak pertama, termasuk menerusi penalti sebelum Hermoso - yang dibawa masuk selepas pertahanan Atletico, Felipe dibuang padang pada babak kedua muncul wira pasukannya.

Kemenangan di Wanda Metropolitano menceriakan penyokong dan membawa pasukan itu berada di kedudukan keempat dalam carta liga.

"Saya harap kemenangan ini dapat meningkatkan semangat kami seterusnya menyaksikan kebangkitan kami serta memberi keyakinan untuk berdepan saingan pada masa hadapan," kata Hermoso kepada Movistar.

"Saya harap saya tahu kenapa kami membenarkan mereka menghukum kesilapan pertahanan kami tetapi terlalu banyak faktor yang tidak dapat dielakkan dan kami adalah pasukan yang lebih baik apabila mendahului dalam perlawanan.

"Kami akan meneruskan kerja keras ini kerana kami masih pasukan sama yang memenangi liga musim lalu."

Luis Suarez memperoleh penalti pada 10 minit awal permainan selepas dijatuhkan penjaga gol Getafe, David Soria namun usahanya itu berjaya dinafikan lawan.

Bagaimanapun, Atletico kelihatan menguasai perlawanan menerusi jaringan Angel Correa dan Matheus Cunha yang meletakkan mereka mendahului 2-0 selepas 27 minit permainan.

Namun juara bertahan itu ketinggalan dalam tempoh 15 minit selepas melepas dua penalti berpunca daripada bola terkena tangan.

Borja Mayoral merapatkan kedudukan sebelum penyerang Turki, Enes Unal meledak dua gol menerusi penalti untuk pelawat pendahuluan.

Correa bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama selepas menyempurnakan hantaran Lemar.

Hanya sebelum satu jam permainan Felipe diperintah keluar padang kerana kekasaran ke atas Mauro Arambarri yang membuatkan skuad kendalian Diego Simeone mengubah pertahanan mereka dan membawa masuk Hermoso, dengan pemain pertahanan itu memastikan tiga mata penting pada penghujung babak perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 9:45 AM