SOFIANE Lokar. FOTO Agensi
SOFIANE Lokar. FOTO Agensi
Agensi

Algiers: Pemain bola sepak Algeria, Sofiane Lokar meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di atas padang ketika beraksi pada hari Krismas.

Pemain berusia 30 tahun itu rebah ketika beraksi bersama pasukan divisyen dua Algeria, Mouloudia Saida.

Difahamkan Lokar mengalami kecederaan pada minit ke-26 ketika bertemu ASM Oran selepas berlanggar dengan penjaga golnya sendiri.

Lokar kemudian menerima rawatan dan kembali beraksi.

Bagaimanapun sembilan minit selepas itu, iaitu pada minit ke-35, Lokar secara tiba-tiba rebah di atas padang.

Pasukan paramedik segera membantunya namun di sebalik usaha yang berterusan, dia tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.

Lokar adalah kapten pasukan itu dan dikatakan baru sahaja berkahwin minggu lalu.

Penghormatan berterusan diberikan kepadanya di media sosial ketika bola sepak Algeria meratapi kehilangan pemain itu.

Lokar adalah pemain kedua yang meninggal dunia sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas pertahanan Croatia, Marin Cacic meninggal dunia di hospital, Jumaat lalu selepas rebah ketika sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 7:18 PM