TUCHEL akur kekalahan ketika berdepan West Ham. FOTO EPA
TUCHEL akur kekalahan ketika berdepan West Ham. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel akur kesilapan individu anak buahnya dan gol 'aneh' menyebabkan mereka tumpas 2-3 kepada West Ham sekali gus hilang kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kami benci dengan kekalahan, kami harus menelannya. Ia bukanlah persembahan yang perlu dimarahi namun secara terperinci kami perlu melakukan lebih baik lagi.

"Jika kami menang gelaran masih belum sah milik kami dan jika kalah saya tidak rasa ada pasukan akan bergelar juara hujung minggu ini," kata Tuchel.

West Ham yang sebelum ini memusnahkan rekod tanpa kalah Liverpool, mengukuhkan kedudukan mereka di kelompok empat terbaik namun pengurus, David Moyes menggesa anak buahnya untuk lebih konsisten.

"Adakah ia hantaran lintang atau rembatan. Saya juga agak terkejut sama seperti anda," kata Arthur Masuaku yang meledak gol kemenangan West Ham hasil jaringan pelik.

Pasukan bimbingan Tuchel hanya tumpas sekali dalam saingan EPL sebelum memulakan aksi di Stadium London dan melepaskan enam gol selepas 14 perlawanan.

Penyandang juara Eropah itu dua kali berada di depan menerusi tandukan Thiago Silva dan rembatan voli Mason Mount, namun mereka berjaya diikat bermula dengan sepakan penalti Manuel Lanzini serta percubaan Jarrod Bowen.

Tiga minit sebelum tamat Masuaku yang masuk sebagai pemain gantian, melakukan rembatan dari sebelah kiri menuju ke gawang Chelsea sekali gus memperdayakan penjaga gol Edouard Mendy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 8:17 AM