DANIEL kali pertama beraksi di pentas Liga Super ketika berdepan Kuala Lumpur City. FOTO Asrol Awang
DANIEL kali pertama beraksi di pentas Liga Super ketika berdepan Kuala Lumpur City. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Penjaga gol ketiga Sri Pahang FC, Daniel Wafiuddin Sa'dun berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan apabila kali pertama beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Pemain berumur 24 tahun itu berkata, kepercayaan itu meningkatkan motivasi kepadanya selepas dua musim bersama skuad Tok Gajah.

"Sudah pasti saya gembira kerana diberikan tanggungjawab selaku penjaga gol ketika berdepan Kuala Lumpur City, Jumaat lalu.

"Pengalaman beraksi sepanjang tempoh 90 minit memberi lebih keyakinan untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan selepas ini.

"Namun, segalanya terpulang kepada ketua jurulatih (Dollah Salleh) dan sebagai pemain saya sentiasa bersedia," kata pemain kelahiran Rompin, Pahang itu.

Mengulas kemungkinan khidmatnya ditagih apabila berdepan Johor Darul Ta'zim Jumaat ini, dia bersedia untuk mengawal benteng terakhir pasukan.

"Saya harap dapat membantu pasukan mencatat keputusan positif," katanya.

Jumaat lalu, Daniel Wafiuddin mengisi kekosongan dua penjaga iaitu Helmi Eliza Elias dan Zarif Irfan Hashimuddin yang tidak dapat beraksi akibat mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 2:23 PM