RONALDO sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO AFP
RONALDO sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO AFP
AFP

Rom: Cristiano Ronaldo akan kekal di Juventus, tegas jurulatih Massimiliano Allegri sambil menyatakan beliau sudah menerima jaminan daripada bintang Portugal itu di sebalik dikaitkan akan kembali ke Real Madrid.

"Mari saya jelaskan isu ini, Ronaldo beritahu saya dia akan kekal," kata Allegri menjawab beberapa soalan mengenai Ronaldo menjelang perlawanan pertama Serie A di Udinese.

"Dia sentiasa berlatih dengan baik dan berada di padang. Saya membaca khabar angin di akhbar tetapi dia tidak pernah mahu meninggalkan Juventus."

Penjaring terbanyak Itali dengan 29 gol itu tidak beraksi pada aksi pemanas badan Juventus bertemu pasukan muda kelab berkenaan Khamis lalu tetapi Allegri berkata, Ronaldo sudah bersedia untuk beraksi pada musim keempat dan terakhir dalam kontraknya.

Komen Allegri itu hadir selepas bintang berusia 36 tahun itu menafikan laporan dia mahu kembali ke Madrid di bawah bimbingan Carlo Ancelotti sambil mengangap khabar angin itu sebagai tidak menghormatinya.

Menerusi Instagram minggu ini, Ronaldo berkata ceritanya mahu berhijrah ke Real Madrid sengaja direka.

"Terdapat berita dan cerita mengaitkan saya dengan beberapa kelab di banyak liga dengan tiada yang berusaha untuk mencari perkara yang benar," kata Ronaldo.

Sejak berhijrah ke Juventus pada 2018, Ronaldo sudah memenangi dua kejuaraan Serie A dan satu Piala Itali namun dia gagal membantu kelab meraih gelaran Eropah.

Allegri kembali membimbing kelab selepas berehat selama dua tahun berikutan kegagalan Pirlo yang menyaksikan Juventus gagal mempertahankan kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2012.

"Seperti setiap tahun, kami beraksi kerana mahu memenangi pertandingan ini," kata Allegri yang memenangi lima gelaran Scudetto bersama Juventus dari 2015 sehingga 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 8:30 PM