BARISAN pemain Turki sedang menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Itali. FOTO EPA
BARISAN pemain Turki sedang menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Itali. FOTO EPA
AFP

Paris: Kejohanan Euro 2020 yang tertangguh sejak tahun lalu akan bermula esok dengan pandemik Covid-19 masih membayangi sepanjang kejohanan.

Saingan benua itu akan berlangsung di depan jumlah penonton yang terhad dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perlawanan pertama akan berlangsung awal pagi esok di Stadium Oimpico, Rom di mana Itali akan bertemu Turki di depan 16,000 penonton.

Persediaan Sepanyol terjejas selepas dua pemainnya, Sergio Busquets dan Diego Llorente didapati positif Covid-19, namun Llorente kembali semalam dengan keputusan ujian yang negatif.

Pasukan itu juga menamakan 17 pemain dalam senarai menunggu berikutan kebimbangan jika terdapat mana-mana 26 pemain sedia ada yang dijangkiti virus berkenaan.

Dua pemain Sweden iaitu penyerang, Dejan Kulusevski dan pemain Mattias Svanberg turut didapati positif virus berkenaan dengan enam pemain berada dalam senarai menunggu untuk dipanggil.

Namun di sebalik ancaman yang berterusan itu, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menegaskan saingan Euro 2020 akan berlangsung dengan selamat.

"Ia memberikan peluang terbaik untuk menunjukkan bahawa Eropah sedang menyesuaikan diri. Eropah kembali hidup dan meraikan kehidupan. Eropah sudah kembali," katanya.

Kesemua 11 venue yang berlangsung di negara berbeza, hanya boleh dimasuki jumlah penonton yang terhad.

Namun Denmark semalam mengumumkan untuk menarik semula peraturan pemakaian pelitup muka dan membenarkan kemasukan 25,000 penonton ke stadium berbanding 16,000 seperti kebiasaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 7:42 AM