Thomas Tuchel. FOTO AFP
Thomas Tuchel. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain memecat jurulatihnya Thomas Tuchel dengan bekas pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino berada dalam senarai calon penggantinya, menurut beberapa laporan media hari ini.

Juara Perancis itu enggan membuat sebarang kenyataan apabila di hubungi AFP untuk mengesahkan laporan yang disiarkan akhbar L'Equipe dan RMC serta tabloid Jerman, Bild.

Pengendali dari Jerman berusia 47 tahun itu tiba di Parc des Princes dengan mengikat kontrak dua tahun pada 2018 dan memacu PSG ke pentas final buat pertama kali Liga Juara-Juara musim lalu.

Namun, jika laporan itu benar, kurang daripada tiga bulan selepas final menentang Bayern Munich di Lisbon, Tuchel menjadi jurulatih PSG pertama meninggalkan pasukan itu pada pertengahan musim sejak Antoine Kombouare digantikan dengan Carlo Ancelotti pada Disember 2011.

Dia meletak jawatan ketika PSG sudah mengesahkan peringkat kelayakan bagi 16 terakhir saingan Liga Juara-Juara dan Pochettino meninggalkan Tottenham pada November 2019, enam bulan selepas membawa pasukan itu mara ke final pertama Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 9:06 PM