VARDY (kanan) meledak gol pembukaan buat Leicester ketika mengalahkan Spurs 2-0 awal pagi tadi. FOTO AFP
VARDY (kanan) meledak gol pembukaan buat Leicester ketika mengalahkan Spurs 2-0 awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

London: Peluang Tottenham Hotspur untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sedikit terganggu selepas tumpas 0-2 kepada Leicester City sekali gus menyaksikan pertukaran kedudukan tempat kedua membabitkan kedua-dua pasukan.

"Ia bukan minggu yang sempurna jika bercakap dari aspek keputusan. Kami mampu berada di sini sebagai pasukan pemusnah rekod Liverpool di Anfield dan beraksi perlawanan hari ini dengan lebih bersemangat.

"Kami memulakan perlawanan ini dengan sedikit kekecewaan dan itu bukan yang kami mahukan namun Leicester juga tumpas dalam perlawanan terakhir mereka. Bagaimanapun, mereka mempunyai semangat positif. Ia adalah aksi di mana kami tewas menerusi penalti dan gol sendiri," kata Mourinho.

Sepakan penalti, Jamie Vardy dan gol sendiri Toby Alderweireld membolehkan The Foxes berada empat mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Gandingan Harry Kane dan Son Heung Min juga gagal membantu Spurs untuk mencatat kemenangan.

Sebelum ini pasukan bimbingan Jose Mourinho berada di tangga teratas liga namun tumpas dengan gol di minit akhir kepada Liverpool menyaksikan mereka ketinggalan enam mata di belakang pasukan bimbingan Jurgen Klopp.

Leicester meraih enam kemenangan daripada tujuh aksi di tempat lawan musim ini dan penyokong mereka mula membayangkan kejayaan 2016 bakal diulangi.

"Saya fikir kami sangat cemerlang sepanjang permainan dan ini adalah kemenangan yang bermakna buat kami.

"Kami harus bermula mencatat kemenangan di laman sendiri. Pemain kami sentiasa belajar sepanjang masa dan sebab itulah kami masih belum menjadi sebuah produk yang sudah siap," kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 9:24 AM