SHEVON (kiri) dan Soon Huat mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
SHEVON (kiri) dan Soon Huat mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Berjaya menukar corak permainan terutama di set penentuan jelas menyelamatkan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai daripada tumbang awal di Terbuka Malaysia di Axiata Arena, sebentar tadi.

Menurut Soon Huat, mereka lebih berani dan mengamalkan corak menyerang pada set penentuan sehingga boleh menghantar pulang pasangan England, Gregory Mairs-Jenny Mairs dengn mencatat kemenangan 21-16, 15-21, 21-17 pada aksi pusingan pertama.

"Paling penting kami sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain dan ia meningkatkan keyakinan kami.

"Kami akui di set kedua asyik ketinggalan dengan mereka dan banyak buat kesilapan," katanya.

Ujarnya, faktor kebangkitan mereka adalah ketika di kedudukan 16-16 di set ketiga dan mereka menukarkan corak permainan kepada lebih menyerang serta tampil berani di dalam gelanggang.

Sementara itu, Shevon berkata, mereka berjaya mengawal permainan dengan baik pada set ketiga dan sedar tidak ada gunanya jika mengawal corak bertahan ketika itu.

"Sebelum itu kami nampak lebih berhati-hati untuk mengawal perlawanan.

"Bagaimanapun, selepas sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain dan sentiasa memberitahu kepada diri sendiri agar lebih berani, akhirnya kami dapat meraih kemenangan," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Pada pusingan kedua, Soon Huat-Shevon yang berada di ranking ke-15 dunia bakal berdepan pemenang di antara Dechapol Puaaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand atau wakil Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 6:01 PM