ZII Jia akan menentang Nishimoto di suku akhir.
ZII Jia akan menentang Nishimoto di suku akhir.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak perlu bermandi peluh untuk melepasi pusingan kedua Terbuka Denmark sekali gus mara ke suku akhir.

Ia selepas lawannya yang juga pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen terpaksa menarik diri hari ini kerana mengalami kecederaan di kaki kiri dan perkara berkenaan disahkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi hantaran di media sosial badan induk itu.

"Pilihan utama Viktor Axelsen menarik diri dari Terbuka Denmark 2023 kerana kecederaan pada kaki kirinya. Lawannya di pusingan 16, Lee Zii Jia mara ke suku akhir," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Axelsen yang juga pilihan pertama mengakui kecewa kerana tidak dapat meneruskan aksi pada kejohanan kali ini.

"Saya kecewa kerana tidak dapat beraksi hari ini. Saya suka bermain di Odense dan di hadapan penyokong Denmark tetapi ia tidak selamat untuk saya bermain.

"Saya harap dapat memulakan proses pemulihan dengan kadar segera dan kembali ke gelanggang secepat yang mungkin," katanya.

Zii Jia yang berkongsi berita terbaru itu di media sosialnya, mendoakan agar Axelsen segera sembuh.

Pemain negara berusia 25 tahun itu bakal turun bertemu Kento Nishimoto pada aksi suku akhir selepas lawannya itu menundukkan Chou Tien Chen 10-21, 21-19, 21-14 di pusingan kedua.

Zii Jia kini berpeluang untuk terus memperbaiki kedudukan rankingnya yang kini berada di nombor 11 dunia.

Ia susulan kejayaannya muncul juara Terbuka Artik di Vantaa, Finland, Ahad lalu selepas menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 10:21 PM