SKUAD negara juarai Kumpulan C. FOTO BWF
SKUAD negara juarai Kumpulan C. FOTO BWF
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui skuad berpasukan campuran negara berjaya mempamerkan permainan luar biasa selepas menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan Piala Sudirman di Suzhou, China.

Menurutnya, semangat yang dipamerkan skuad negara harus diteruskan sehingga ke peringkat suku akhir kerana itulah kunci kekuatan Malaysia.

"Bawa semangat ini sehingga ke suku akhir (esok). Kita nampak di peringkat kumpulan mereka bersemangat, itulah paling penting. Saya harap mereka akan pergi jauh lagi dan tambahan pula ini adalah kejohanan yang turut menawarkan mata ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Raya Aidilfitri FAM-Liga Bolasepak Malaysia (MFL)-Liga Bolasepak Amatur Malaysia (AFL) hari ini.

Ujar bekas pemain nombor satu dunia itu, beliau mahu setiap pemain terus fokus dalam setiap perlawanan selepas ini.

"Mereka mempamerkan aksi luar biasa ketika beraksi menentang Australia, Taiwan dan India. Kekalkan momentum ini dan lebih bersemangat di suku akhir. Ini semua disebabkan mereka membuat persiapan rapi di dalam latihan sebelum ke Piala Sudirman," katanya.

Ditanya mengenai prestasi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Chong Wei mengakui pemain ranking kelapan dunia itu sudah mengubah corak permainan.

"Sudah memulakan perubahan (dari segi permainan) dan harap dia dapat belajar banyak lagi di Piala Sudirman seterusnya ke Masters Malaysia agar dia memperoleh mata ke Olimpik," katanya.

Setakat saingan peringkat kumpulan yang berlangsung sebelum ini, Zii Jia menampilkan aksi cukup konsisten apabila mencatat kemenangan straight set ke atas setiap lawannya termasuk K Srikanth dari India dan tonggak Taiwan, Chou Tien Chen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 5:06 PM