MOMOTA kurang menyerlah sejak akhir-akhir ini.
MOMOTA kurang menyerlah sejak akhir-akhir ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia percaya aksi dipamerkan bintang Jepun, Kento Momota bukanlah yang terbaik dari bekas pemain nombor satu dunia itu. Malah Zii Jia percaya, Momota akan kembali bangkit seperti pernah dilakukannya satu ketika dulu. Semalam dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Zii Jia berjaya meraih kemenangan ke atas Momota 21-17, 21-8 dalam tempoh 46 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia merekodkan kemenangan keempat ke atas Momota untuk membantu negara menundukkan Jepun 3-2 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan D Piala Thomas di Bangkok, Thailand.

"Saya percaya dia akan bangkit dan akan kembali menjadi pencabar utama dalam dunia badminton. Kita sendiri ada masanya akan bermain dengan prestasi terbaik ada masa tidak. Momota pun dalam situasi yang sama.

"Sekarang ini mungkin dia sedang bergelut tapi saya percaya dia akan kembali kerana dia mempunyai karakter seorang juara. Dia pernah digantung selama setahun (2016) dan bermula daripada kosong selepas itu, tapi dia kembali jadi pemain nombor satu dunia dan raih banyak gelaran," katanya.

Selepas kembali daripada penggantungan, Momota berjaya merangkul sembilan gelaran juara dari 11 aksi final yang disertainya dalam tempoh setahun.

Namun malang menimpa Momota apabila mengalami kecederaan serius selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya selepas merangkul gelaran Masters Malaysia pada Januari 2020 ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Dia kembali dalam kejohanan kompetitif pada awal tahun lalu namun Momota hanya berjaya merekodkan satu gelaran juara iaitu di Masters Indonesia 2021 dan naib juara Terbuka Denmark 2021.

Dia juga terlepas peluang meraih emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos tahun lalu apabila tersingkir di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 6:43 PM