Lee Shun Yang berjaya melakar kejutan dengan muncul juara acara perseorangan lelaki di Greece. FOTO Ihsan BAM
Lee Shun Yang berjaya melakar kejutan dengan muncul juara acara perseorangan lelaki di Greece. FOTO Ihsan BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Empat gelaran berjaya dirangkul pemain badminton muda negara dalam saingan Antarabangsa Hellas di Lavrio, Greece hari ini.

Paling cemerlang ialah perseorangan lelaki negara, Lee Shun Yang yang mencipta kejutan selepas mengalahkan pilihan kelima dari Republik Czech, Jan Louda 21-14, 24-22 dan ia adalah gelaran pertamanya di peringkat senior.

Gandingan yang terkenal dengan gelaran 'Patatimo' Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri turut cemerlang di kejohanan tahap empat itu apabila menewaskan pasangan Republik Czech, Ondrej Kral-Adam Mendrek 21-16, 21-15.

Ia adalah gelaran antarabangsa kedua buat pasangan muda negara itu tahun ini selepas muncul juara di Terbuka Austria, Mei lalu.

Arif Junaidi-Muhammad Haikal berjaya muncul juara di Greece dalam saingan beregu lelaki. FOTO Ihsan BAM
Arif Junaidi-Muhammad Haikal berjaya muncul juara di Greece dalam saingan beregu lelaki. FOTO Ihsan BAM

Sementara itu, pasangan wanita negara, Low Yee Yuan-Valerie Siow turut tidak ketinggalan mencetak nama mereka sebagai juara selepas menewaskan gandingan Itali yang juga pilihan kedua, Katharina Fink-Yasmine Hamza 21-15, 21-15.

Gelaran itu adalah yang ketiga diraih pasangan ke-198 dunia berkenaan tahun ini selepas turut menjuarai saingan Antarabangsa Slovenia, Mei lalu dan Latvia, minggu lalu.

Gelaran keempat Malaysia di Lavrio diraih menerusi beregu campuran, Yap Roy King-Valerie yang menewaskan pilihan kedua dari Norway, Carl Christian Mork-Solvar Flaten Joergensen 21-13, 21-17.

Minggu lalu, Roy King-Valerie turut menjuarai saingan Antarabangsa Latvia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 9:04 PM