Fernando Alonso
Fernando Alonso
AFP

Paris: Fernando Alonso memandu kereta Formula Satu (F1) buat pertama kali dalam tempoh hampir setahun setengah awal pagi ini di Barcelona.

Juara dua kali F1 memandu jentera Renault, pasukan di mana dia memenangi dua kejuaraannya dan akan menjadi pemandu pasukan itu pada musim depan.

Dia memandu jentera Renault yang digunakan musim ini dan menggantikan pelumba Australia, Daniel Ricciardo yang menamatkan kejuaraan podium selama sembilan tahun pasukan itu pada Ahad lalu selepas menduduki tempat ketiga di Grand Prix Eifel.

Pelumba Sepanyol yang memenangi kejuaraan pada 2005 dan 2006 bersama Renault, dibenarkan memandu 100km dibawa undang-undang rasmi ujian dalam satu sesi yang digunakan untuk promosi filem.

Alonso menguji jentera Renault. FOTO Twitter Renault F1 Team
Alonso menguji jentera Renault. FOTO Twitter Renault F1 Team

"Ia sememangnya sangat istimewa buat saya untuk kembali dengan kereta F1," katanya menerusi siaran langsung di Instagram.

"Ia adalah peluang terbaik buat saya untuk merasai pengalaman memandu kereta ini," katanya.

"Kembali kepada kelajuan kereta F1 adalah sesuatu yang bukan mudah, tetapi saya dapat rasakan peningkatan pusingan demi pusingan."

Pada Julai lalu, Alonso bersetuju kembali menyertai Renault musim depan ketika pasukan itu akan bertanding atas jenama pembuatan kereta mewah dari Perancis, Alpine.

"Saya selesa di sini bersama Renault," katanya.

"Semuanya bertambah mudah apabila anda mengenali mereka dan pasukan itu."

Sejak meninggalkan F1, Alonso memenangi dua kejuaraan Le Mans 24 Hours begitu juga Kejuaraan Dunia Endurance bersama Toyota.

Tahun ini dia bersaing dalam perlumbaan Rali Dakar, menamatkan kedudukan di tempat ke-13 dan mencuba nasib buat kali kedua di perlumbaan Indianapolis 500 dengan menamatkannya di tempat ke-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 10:56 AM