ATLET menembak kebangsaan berlatih sebelum ke Sukan SEA 2019, tahun lalu. FOTO Aizuddin Saad
ATLET menembak kebangsaan berlatih sebelum ke Sukan SEA 2019, tahun lalu. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


JURULATIH skuad menembak negara, Mohd Yusri Jusoh mahu pengalaman lalu dijadikan pengajaran untuk atlet bangkit menjadi lebih baik tahun depan.

Tahun 2019 dilihat paling suram buat skuad menembak negara apabila gagal membawa pulang emas dan terpaksa berpuas hati dengan dua perak dan empat gangsa selain turut gagal menempatkan diri ke temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

Semuanya dilihat berpunca dari dalam diri atlet sendiri yang gagal mengawal tekanan ketika beraksi.

Kata Yusri, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sudah memberikan yang terbaik dengan memberi pendedahan sewajarnya sebelum Sukan SEA bermula.

Bagaimanapun faktor keyakinan diri yang kurang dilihat menjadi punca mereka tewas dan gagal menghadiahkan kilauan emas kepada skuad negara.

"Saya lihat persiapan yang dilakukan dan pendedahan yang diberikan sudah cukup terbaik apabila kami turut menghantar atlet keluar negara dan semua dilihat dalam keadaan terkawal temasya Sukan SEA bermula.

"Namun faktor keyakinan diri atau tekanan dalam diri sendiri menjadi punca mereka tewas pentas final," katanya.

Justeru rombakan besar-besar dilakukan dengan menyerap lebih banyak penembak junior ke dalam skuad kebangsaan selain atlet senior seperti Muhammad Ezuan Nasir Khan Shahera Rahim Raja dan Joseline Cheah disingkirkan daripada program.

NSAM menyenaraikan empat muka baharu iaitu Haritz Iklil Hessly Hafiz, Nurul Syasya Nadiah Ariffin, Alia Husna Budruddin dan Nur Izazi Rosli, selepas mempamerkan prestasi cemerlang di Kejohanan Menembak Terbuka Selangor, awal tahun ini.

NSAM kini merancang untuk mengadakan dua kejohanan tempatan tahun ini bagi menilai prestasi terkini atlet mereka selepas empat bulan berehat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 8:48 PM