NOORUL sokong persatuan sukan bantu bekas atlet. FOTO Owee Ah Chun
NOORUL sokong persatuan sukan bantu bekas atlet. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


DANA Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sememangnya terhad dan bantuan serta sokongan persatuan sukan digalakkan dalam membantu bekas atlet yang pernah mengharumkan nama persatuan mereka.

Demikian luahan Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang mengakui bantuan dan sokongan daripada persatuan sukan di negara ini amat ditagih dalam meringankan beban bekas atlet termasuk bekas pemain bola sepak negara.

Jelasnya, daripada 3,000 ahli Yakeb, sebanyak 320 ahli atau 10 peratus daripadanya adalah bekas pemain bola sepak negara dengan bekas atlet olahraga adalah jumlah tertinggi iaitu seramai 750 orang.

Katanya, walaupun pihaknya menerima dana khas daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setiap tahun, namun ia masih tidak mencukupi untuk membantu kesemua ahli yang berdaftar di bawah Yakeb.

Lantas, beliau amat mengalu-alukan inisiatif mana-mana pihak untuk meringankan beban bekas atlet yang sebelum ini pernah mengharumkan nama persatuan dan negara khasnya.

"Kita ada 60 lebih persatuan, jadi kita haraplah persatuan-persatuan ini boleh (membantu bekas atlet)...bukan kita nak memberi beban kepada mereka (persatuan sukan), tetapi kena ingat atlet-atlet ini pernah mengharumkan nama persatuan.

"Apabila nama persatuan diharumkan oleh atlet-atlet, mereka akan dapat dana yang lebih daripada MSN (Majlis Sukan Negara). Selepas atlet mengharumkan nama persatuan, sudah tiba masanya persatuan membantu mereka balik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut Noorul Ariffin lagi, ada beberapa persatuan sukan dilihat cukup aktif membantu seperti FAM yang kerap menghulurkan bantuan begitu juga dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Begitupun, beliau mengharapkan lebih banyak lagi yang akan tampil ke depan termasuk Kerajaan Negeri dan setakat hari ini hanya dua negeri iaitu Terengganu dan Selangor yang serius dalam membela nasib bekas atlet.

Menerusi laporan khas Arena Metro, bekas pemain skuad Harimau Malaya, Khalid Ali menyeru FAM dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bekerjasama untuk mewujudkan dana khas bagi membantu bekas pemain kebangsaan yang kini hidup dalam kesukaran ekoran masalah kesihatan mahupun ketiadaan pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 8:59 PM