Bintang Liverpool, Mohamed Salah (dua kiri) meraikan jaringannya bersama Roberto Firmino dalam saingan Liga Perdana. FOTO File AFP
Bintang Liverpool, Mohamed Salah (dua kiri) meraikan jaringannya bersama Roberto Firmino dalam saingan Liga Perdana. FOTO File AFP
Agensi

LIVERPOOL berpeluang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, selepas polis membuat pusingan U berkenaan gelanggang berkecuali.

Laporan sebelum ini mendakwa polis meluahkan kebimbangan kemungkinan penularan Covid-19 di kalangan peminat yang berkumpul di luar stadium ketika perlawanan penentuan kejuaraan Liverpool itu.

Ia bermakna perlawanan kedua di mana The Reds menerima kunjungan Crystal Palace pada 24 Jun akan dilangsungkan di Anfield.

Keputusan dibuat selepas rundingan lebih seminggu antara semua pihak yang terbabit dalam Liga Perdana, polis, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan serta wakil-wakil keselamatan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp yang menanti saat ditabalkan juara selepas kali terakhir mengecapinya pada 1990, memiliki baki sembilan perlawanan dan mendahului selesa di puncak liga dengan 25 mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester City.

Mereka hanya memerlukan dua kemenangan atau enam mata untuk mengesahkan kejuaraan liga.

The Reds juga mampu mengesahkan kejuaraan di Everton pada 21 Jun, jika Manchester City tewas kepada Arsenal pada 17 Jun.

Liverpool akan dimaklumkan pada Isnin ini sama ada perlawanan menentang Everton akan berlangsung di Goodison Park atau gelanggang berkecuali selepas lawan setempat itu mengemukakan permohonan aksi perlawanan pembukaan di gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 12:22 PM